Haji Salleh abd Karim lebih dikenali dengan gelaran Kiyai Salleh atau Panglima Salleh. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1916 di Jorak, Muar. Beliau mempunyai darah keturunan Banjar dan merupakan seorang yang sangat warak, berpekerti tinggi dan suka merendah diri. Penampilan beliau sangat sederhana. Beliau memiliki pengetahuan yang sangat meluas dalam agama hasil pengajiannya dengan ramai guru-guru agama yang terkenal ketika itu. Berikutan itu, beliau sangat membenci amalan-amalan khurafat seperti menggunakan tangkal, bertapa di gunung, gua dan sebagainya. Kiyai Salleh adalah orang yang dipertanggungjawabkan mengetuai orang-orang Melayu menentang bintang tiga yang membuat kekacauan di Batu Pahat, Johor. Selain mendalami ilmu agama beliau juga turut berguru ilmu kepahlawanan dengan ramai pendekar silat. Antara guru beliau yang diketahui ialah Kiyai Mustahir, Pagoh dan Kiyai Arshad al Banjari. Dari kedua-dua guru ini beliau telah menuntut ilmu agama dan amalan perang. Beliau mula memimpin orang Melayu Batu Pahat pada usia 29 tahun iaitu sekitar tahun 1945
Bintang Tiga
Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.
Berikutan itu, Haji Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.
Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.
Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan.
Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis. Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.
Suatu ketika, kekejaman komunis begitu berleluasa. Ramai orang kampung diculik dan dilarikan di dalam hutan. Ada di antara mereka yang diseksa dan dibunuh dengan kejam. Ibu bapa hanya mampu melihat sahaja anak-anak diheret ke dalam hutan. Tidak kurang juga anak-anak yang menjadi yatim dan tidak lagi dapat bertemu dengan orang tuanya hingga ke hari ini. Ketika itu orang Melayu seolah-olah tiada pembela. Setiap hari mereka hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Pada sebelah malam pula, ramai yang tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang anggota komunis akan datang ke rumah. Ramai yang sudah tidak berani lagi untuk ke masjid berikutan dengan tindakan komunis menyerang dan membakar masjid dan surau-surau. Ketika itulah, Kiyai Salleh dan pasukannya bertindak sebagai pejuang yang bangkit membela anak bangsa yang tertindas di bumi sendiri.
Perjuangan
Haji Salleh bin Abdul Karim (tengah) |
Pada mulanya penduduk kampung bertindak menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha mengekang dan mengatasi ancaman komunis. Persatuan itu kemudiannya disertai oleh Kiyai Salleh. Oleh kerana ketokohan, kehandalan, keberanian dan kelayakannya, maka beliau telah dipilih untuk mengetuai pasukan itu menggantikan pemimpin sebelumnya, Ahmad Ijam yang menarik diri.
Serangan pertama ke atas kubu pengganas komunis di Bukit Simpor dibuat selepas subuh 19 April 1945 yang disertai oleh 38 orang penduduk kampung. Itulah pertama kali penduduk kampung menyaksikan kehebatan dan kehandalan Panglima Salleh. Biarpun cuma bersenjatakan pedang dan parang panjang, mereka telah membuktikan keampuhan semangat pahlawan Melayu nan sejati. Pihak komunis yang pada mulanya begitu berani bertindak sesuka hati mulai menjadi gentar.
Pada tahun 1949, Panglima Salleh besama-sama dengan salah seorang anak muridnya, Haji Abd Hamid Hamzah telah mengetuai dua pasukan penduduk kampung untuk memburu pasukan komunis dan orang kuat mereka, Mat Indera. Biarpun ada di antara anggota komunis ini ialah orang Melayu, namun bilangan mereka kecil sahaja. Majoriti pengganas komunis ketika itu adalah orang-orang cina, hinggakan peperangan menentang pengganas komunis itu kelihatan seolah-olah peperangan di antara Melayu dan Cina. Selain itu, Panglima Salleh juga mengetuai beberapa serangan lain.
Atas kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Semenjak itulah Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.
Perginya Seorang Pahlawan
Panglima Salleh telah meninggal dunia pada tanggal 21 April 1959 di Hospital Besar Johor Bahru kerana penyakit bengkak paru-paru. Meskipun Kiyai Salleh telah meninggal dunia, kesinambungan perjuangannya telah diteruskan dan disambung oleh pelapis-pelapis terkemudian. Pasukan Kiyai Salleh yang juga dikenali dengan nama tentera Selempang Merah terus berjuang membela nasib orang-orang Melayu terutamanya ketika tragedi 13 Mei 1969. Walaupun kini darah orang-orang Melayu tumpah di bumi bertuah ini telah kering, namun jasa Kiyai Salleh tetap diingati dan disanjung. Al-Fatihah~