Dalam satu majlis surau yang dihadiri oleh Allahyarham Tuan Haji Hassan Pendekar dan Allahyarham Penghulu Mat Elah, Tangkak, Penghulu Mat Elah secara bergurau telah menarik kain saprah di hadapan Tok Haji Hassan yang mengandungi segelas air yang separuh penuh. Pantas dapat ditangkap oleh Tok Haji Hassan dan air dalam gelas tersebut tidak sempat tumpah.
Agaknya Tok Haji Hassan tersinggung dengan gurauan Penghulu Mat Elah, telah menampar lantai ( lantai dulu tebal-tebal weh ) surau tersebut. Maka tercabut sebatang paku lantai dan melambung ke udara. Tok Haji Hassan pantas menangkap paku tersebut dan ditamparnya paku itu ke tiang surau yang berada dekat beliau. Paku tersebut terbenam hingga ke pangkal.
Tok Penghulu Mat Elah melihat akan perilaku Tok Haji Hassan telah merasa tersinggung dan tercabar. Beliau telah mencabar Tok Haji Hassan untuk bertarung dengan beliau selepas sembahyang jumaat minggu berikutnya.
Gembar apabila berita itu tersebar dan ahli majlis surau segera mengadakan mesyuarat tergempar. Mereka bersependapat sekiranya kedua-dua pendekar ini bertarung, maka salah seorangnya mesti mati. Maka untuk mengelakkan terjadi pertumpahan darah ini, mereka pun terus menghantar wakil kepada kedua-dua belah pihak untuk memujuk untuk berdamai. Alhamdulillah kedua-dua pendekar ini telah pun sejuk dari api kemarahan mereka dan dengan rela hati ingin berdamai semula. Berita itu telah disambut gembira oleh penduduk setempat dan mereka telah meraikan perdamaian itu dengan mengadakan kenduri kesyukuran secara besar-besaran.