Aki Jamaludin bercakap Atuk dia Dol Ghani digelar Wak Serang kerana ia merupakan pangkat semasa bekerja di atas kapal. Saya pun terfikir apa pangkat nama ' serang' dalam kapal? Lalu saya pun menaip dalam kamus bahasa Inggeris melayu digital dalam handphone saya.( aih cikgukan kena bawa kamus ke mana-mana).
Pertama yang saya teka " bosun" kamus tulis " see boatswain". Saya taip " boatswain". kamus pun keluar satu perkataan yang mengejutkan saya " serang ". Rupa-rupanya Wak Serang adalah seorang " boatswain " di atas kapal!!
soalan kedua " Apa pulak kerja 'boatswain' di atas kapal? setelah mencari dalam kamus ( yang ni senang jer) rupa-rupanya ia adalah pegawai geladak yang menjaga segala peralatan geladak kapal dan juga pegawai yang mengawasi pekerja-pekerja geladak kapal ketika mereka bertugas. Aki kata kelasi kapal zaman tu ganas-ganas kalau tak suka seseorang tu,pakat tikam jer, tetapi dengan Wak Serang dia orang takut. Kata Aki Wak Serang tu putih, tinggi, dan berdada bidang orangnya dan berambut kemerah-merahan. Beliau juga seorang yang kacak. Ini diakui oleh Wan Jah. Berdarah bugis tulen.
Masa Aki pergi ke rumah Wak Serang masa kecil, beliau telah memasuki kamar tidur Wak Serang, Maka terpandanglah satu kain terlipat elok tergantung pada salah satu tiang tembaga di katil beliau. Aki pun bertanya: "Tok,tok ini apa ni tok?" Wak Serang menjawab: " Ha Inilah orang panggil tanjak, kalau nak bersilat kena pakai ni tau." "silat la kat aku tok" kata Aki lagi. Lalu Wak Serang mengenakan tanjak tersebut di atas kepala dan terus bersilat di depan Aki. Kata Aki masa itu gerakkan Wak serang sungguh cantik dan tidak pernah tengok gerakkan secantik itu. lalu Aki pun terpikat dan terus memujuk toknya untuk mengajar beliau bersilat. " Tok, ajarlah aku silat, ajarlah aku silat ye " kata Aki berulang-ulang kali memujuk sambil duduk bersila di depan Wak Serang. " Kau nak belajar silat, seposen setiap kali datang" kata Wak Serang.
Terdiam kejap Aki, beliau menggaru-garu kepala, mata terkebil-kebil sambil berfikir " Mak aku bagi belanja sekolah seposen sehari, mana nak makan rehat kalau gitu?" Lalu Aki berkata pada Wak serang: " Ala tok, dengan cucu pun nak kira" " Eh! seposen tu buat beli minyak tanah, bila kau datang bersilat. Takkan kau nak bersilat aku kena beli minyak tanah." jelas Wak Serang. Kerana bersungguhnya nak bersilat,
Aki simpan duit belanja dia ke sekolah. Bekalan dia ke sekolah ialah Teh 'O' yang bancuh sendiri, lepas tu dimasukkan dalam botol kaca 'gripe water'. ( orang lama mesti tau botol apa nikan?) Setahun setengah Aki tak menjamu di kantin sekolah ketika rehat. Jadi ketika murid-murid lain beratur membeli makanan semasa rehat, Aki akan cari tempat yang sesuai dan mengeluarkan botol gripe water kemudian menogok air teh tu sembunyi-sembunyi.
Wak Serang mengajar silat tak ada sifat belas kesihan, kalau ditumbuk, ditumbuknya betul-betul. Kalau ditikam, ditikamnya betul-betul. (pakai tangkai buah kelapa yang dijadikan hujungnya berbara -tapi ini cerita lain kalilah)
Setelah tamat kuntau Telok Mas, Wak Serang pun menyuruh Aki ke Sungai Mati belajar sendeng. Tiga tahun kemudian, Aki bersama Abang beliau, Pak Long Sham datang menjengah Wak Serang. Pada ketika itu Wak Serang baru balik dari kebun. " Eh, naik ke rumah budak-budak" kata Wak Serang. "Buatkan diaorang kopi ni." tambah beliau. Bila dah hilang penat, kopi dah diminum,Wak Serang pun berkata: " Meh Din, aku nak tengok sendeng engkau." Aki pun pasang dan tumbuk sepantas mungkin, tangkap dek Wak Serang dan kena pukul balik. terpelanting Aki, tersandar ke dinding. Aki serang lagi kena lagi, berpinar mata. serang, kena, serang, kena. Last-last Wak Serang main tampar-tampar gitu aje. Tak terelak oleh Aki. " Macam mana kau belajar sendeng ni? " tanya Wak Serang. Malu Aki.
Setelah Aki berkahwin,setiap kali bertandang ke rumah orang tua Adan, Wak Serang tak pernah lupa bawa buah tangan dari kebun beliau, kelapa, keladi, pisang tanduk dan lain-lain lagi. Aki tidak pernah lupa menghulurkan beliau sedikit duit kopi dan belanja. " Ingat lagi kau kat aku ye" kata Wak Serang pada Aki apabila menerima pemberian Aki. Aki sering membuka gelanggang dengan membaca surah Al fatihah beramai-ramai dan mensedekahkan kepada Allahyaraham Tuan Haji Hamid, Haji Hassan, Taman Dagang dan Haji Mohd Ariff Shamsu. Tapi saya belum lagi mendengar beliau mensedekahkan Al Fatihah beramai-ramai kepada Allahyarham Dol Ghani. Jadi saya mengambil kesempatan ini,meminta marilah kita mensedekahkan Surah Al Fatihah keatas roh beliau. Al Fatihah..
~ Admin.