Monday, November 3, 2014

BERSILAT DALAM GUA

Menggerakkan persatuan silat menemukan kita dengan pelbagai ragam manusia. Pelbagai peristiwa, pelbagai pengalaman. Baru2 ini kami ada post gambar bersilat di depan gua. Secara tak langsung teringat kisah seorang lelaki yang bercerita tentang orang belajar bersilat di gua. Saya tak mahu dedahkan identitinya. Cukuplah kisahnya sebagai pengajaran.

Aksi di depan gua

Lelaki ini memperlekehkan orang yang belajar silat di sekolah, dewan dan balairaya. Katanya silat mesti belajar di gua. Tengok orang zaman dulu belajar di gua. Kena bertapa sampai Hang Tuah dan Hang Jebat sendiri datang untuk ajar bersilat. Katanya dia sendiri ada mendapat keris dari gua, ditarik dari perut bumi. Keris ditarik oleh seorang bomoh yang datang dari Medan. Umur kerisnya 4000 tahun, berasal dari Sumatera. Keris Istana. Katanya juga, ada beberapa orang guru silat datang belajar dengannya di gua dan macam-macam lagi kisahnya. Hebat sungguh! Sampai tak tercapai dek akal kita yang biasa-biasa ini.

Pada mulanya kami rasa meluat sebab kata-kata meninggi yang keluar dari mulutnya, tapi sudahnya kami hampir- hampir tidak dapat menahan ketawa. Kami tahu sebenarnya kesemua ceritanya itu bohong belaka. Satu pun tidak boleh dipakai. Kehebatannya mengalahkan Hikayat Merong Mahawangsa. Untuk kami terpangaruh, itu jauh sekali.. Tapi cuba bayangkan kalau seorang budak muda yang masih mentah dan sedang bersemangat hendak menuntut ilmu silat, nasibnya kurang baik dan bertemu dengan orang begini, entah apalah jadinya. Sebenarnya perkara beginilah yang merosakkan imej silat Melayu. Ibubapa sendiri pun rasa bimbang nak menghantar anak belajar silat.

Kalau kita nak belajar ilmu silat, perkara pertama dan yang paling penting ialah kita carilah guru yang baik. Guru yang baik ilmunya. Guru yang baik tingkah lakunya, dan guru yang baik kefahaman agamanya. Itu yang paling utama. Kemudian kita bergurulah darinya dengan cara yang sudah diajarkan oleh agama kita. Soal tempat tak penting. Ada orang belajar di rumah, ada orang belajar di bangsal, ada orang belajar di sekolah, ada orang belajar di masjid, malah di universiti pun ada.

Soal Hang Tuah belajar di gua di Gunung Ledang, itu adalah kerana gurunya tinggal di sana. Gurunya tinggal di sana kerana dia orang bertapa. Zaman itu zaman orang bertapa. Tapi harus diingat, Hang Tuah sendiri tidak belajar ilmu pertapaan. Beliau hanya belajar ilmu hulubalang sahaja. Gurunya pernah menawarkan ilmu pertapaan, namun Hang Tuah menolak tawaran gurunya itu dengan alasan ilmu itu tak tertanggung di atas kepalanya. Itu adalah bahasa halus untuk menyatakan penolakan. Hang Tuah belajar di gua kerana ada guru. kalau tak ada guru nak belajar dari siapa? Dari jin?? Kalau macam tu tak payah bersilat pun tak apa..

Jadi buat tuan-tuan yang belajar silat di sekolah, universiti, gelanggang simen, gelanggang mozek, jangan mudah merasa rendah diri bila diperlekehkan orang yang tidak faham landasan ilmu. Memang belajar silat di zaman ini adalah cara yang lebih moden tapi apa yang penting ialah ilmu yang kita perolehi itu benar, berkesan, boleh digunapakai dan paling penting tidak membuatkan kita terpesong dari landasan agama. Barulah kita boleh selamat dunia dan akhirat..~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...