|
Pendekar Mustar dan Pendekar Bujang Lapok |
Pendekar Bujang Lapok. Itulah nama sebuah filem komedi klasik yang pernah ditonton oleh hampir semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan peringkat umur. Ia dibintangi oleh Seniman Agung Tan Sri Dr. P. Ramlee, Seniman S. Shamsuddin, Seniman Aziz Satar dan Seniman Wak Mustarjo. Filem ini penuh dengan unsur jenaka yang menggeletek perasaan. Elemen kemelayuannya sangat kuat dan turut mengandungi unsur-unsur sindiran dan teguran.
Dari kacamata seorang pengamal silat, saya berpendapat bahawa filem ini sangat dekat dengan suasana sebenar di gelanggang. Saya sangat tertarik dengan cara Allahyarham melukiskan hubungan antara pelajar dengan guru. Ada masanya guru tua itu tersalah dengar dek kerana daya pendengarannya kian pudar dimamah usia. Perbualan mesra tapi penuh adab sopan itu juga memang benar-benar terjadi di dunia sebenar. Keluarga guru itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Bermalam di rumah guru juga bukanlah perkara yang asing. Di sebelah pagi, Ramli, Sudin, dan Ajis membantu Pendekar Mustar mengerjakan tugas-tugas harian. Begitu jugalah yang dikisahkan kepada kami oleh Aki Jamal, tentang kisah beliau mengikut Haji Hamid mengerjakan kebun, menjala ikan, berburu dan sebagainya.
Dalam filem ini dilakonkan babak mereka belajar silat di halaman rumah, seperti mana juga cara orang Melayu dahulu belajar. Peristiwa lucu seperti seluar terkoyak, tersalah salin nota, salah faham tentang istilah kuda-kuda, dimarahi guru, ini benar-benar mengusik perasaan. Ini adalah realiti yang memang berlaku di gelanggang persilatan. Lucu, tetapi benar.
Dalam filem ini juga P. Ramlee menyindir kita tentang amalan-amalan salah seperti bertapa di kuburan dan berjampi mentera. Turut digambarkan, pesilat bukan sahaja perlu mahir berpencak, malah juga perlu menguasai ilmu pelajaran. Atas sebab itulah Pendekar Mustar menyuruh mereka bertiga bersekolah dan belajar membaca. Dalam suatu babak, digambarkan bagaimana kebijaksanaan Sudin dan Ajis menewaskan sembilan orang samseng dengan menggunakan akal adalah lebih berjaya berbanding Ramli yang menggunakan kudrat semata-mata. Walaupun Ramli dilihat lebih gagah, namun kejayaan Sudin dan Ajis ternyata lebih lumayan. Selain itu banyak lagi pengajaran yang boleh kita perolehi dari filem ini.
Filem Pendekar Bujang Lapok adalah suatu contoh filem komedi bertemakan silat Melayu yang cukup baik. Sememangnya filem ini kurang menekankan aksi silat kerana lebih menumpu kepada aspek komedi. Namun tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bawa filem ini adalah satu-satunya filem komedi bertemakan silat Melayu yang tidak menghina silat Melayu. Kebanyakan drama komedi silat hari ini hanya menggayakan silat sebagai lawak bodoh. Aksi 'silat' yang dilakukan lebih condong ke arah gerakan-gerakan badut dari silat yang sebenar. Dari satu segi mungkin ia kelihatan lucu tapi dari segi lain ianya hanya menjatuhkan air muka silat Melayu. Hingga ke satu tahap, apabila terdengar saja bunyi serunai silat dalam drama komedi, sudah mula terlintas di fikiran, "Ah apa pula lah lawak bodohnya ini". Anak-anak muda menjauhi silat kerana bimbang ditertawakan orang. Tentu saja reaksi begini akan lahir apabila saban hari silat dilakonkan sebagai gerakan-gerakan badut.
Tujuan saya menuliskan artikel ini bukanlah untuk mendewa-dewakan filem lama ini tetapi untuk mengajak kita memikirkan tentang survival silat di zaman ini. Di zaman ini, filem begitu memainkan peranan besar dalam mempengaruhi masyarakat. Maka seharusnyalah silat dimartabatkan semula melalui filem dan kaca televisyen. Kita lihat bagaimana suatu masa dulu filem 'The Karate Kids' menaikkan nama Karate, filem 'Drunken Master' mengangkat nama 'Kung Fu', dan filem 'Ong Bak' memasyhurkan nama 'Muay Thai'. Peminat beladiri silat sangat merindukan Keris Hitam Bersepuh Emas, Pendekar Kundur, dan Loceng Maut. Jadi mengapa tidak orang kita menaikkan ilmu beladiri bangsa Melayu ini dengan filem silat. Kalau pun tidak ada filem baru yang boleh mengangkat imej silat, sekurang-kurangnya tak usahlah silat direndah-rendahkan tarafnya hingga menjadi bahan ketawa saja.
Silat Melayu ini begitu agung. Dengan ilmu inilah pahlawan dahulu mempertaruhnya nyawa mereka demi berjuang mempertahankan bumi Melayu ini dari dijajah. Ini ilmu Datuk Hang Tuah, ini ilmu pakaian Hang Jebat, ini ilmu Pahlawan Mat Kilau, ini ilmu pejuang Dato' Bahaman, ini ilmu perang Panglima Salleh, ini ilmu hulubalang Tok Janggut, ini ilmu senjata Dato' Sagor, ini perisai Dato' Maharaja Lela, ini ilmu Pahlawan Melayu! Jangan ilmu ini direndah-rendahkan. Kalau bukan Melayu itu yang meletakkan hak mereka betul pada tempatnya, maka siapakah lagi?