Sunday, December 14, 2014

ADAB & TATACARA

Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi ciri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.
Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.

Adab Belajar

Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-

"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "

"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."

"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."

"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."

Rukun Perguruan

Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-

Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesama seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.
Permainan Gendang Silat

Penggunaan bunti-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.

Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-

Gendang Rentak Inai
Gendang Rentak Pahlawan
Gendang Rentak Sendayung

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sendeng-johor/adab-tatacara/137404066276135

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...