Sunday, December 14, 2014

FALSAFAH DAN KONSEP SENI SILAT SENDENG

Mendahului serangan

Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.

Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.

Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi "Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang."

Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah 'masak gerak' iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.

Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi "Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku." Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.

Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat Sendeng yang memukul.

Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi 'Gerak, gayang, pantas, berani, berakal'. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita.

Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi "Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan."

Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana "Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan "Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup."

Pergerakan Relatif

Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.

Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.

Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi "Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul."

Pergerakan yang hidup


Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'. Setiap serangan yang dimulakan ia akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.

Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup "Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya."

Praktikal


Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi "Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh." dan "Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat."

Haram di sentuh


Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi "Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarikpun kena."

Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari, Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sendeng-johor/falsafah-dan-konsep-seni-silat-sendeng/137403789609496

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...