Monday, May 18, 2015

SILAT SEBAGAI WADAH PEMBINAAN ANAK MUDA SERBA LENGKAP

Gelanggang Sendeng Haji Hamid SMK Seri Raub
Merentas zaman, silat sudah terbukti merupakan suatu disiplin ilmu yang cukup unggul. Semenjak zaman dahulu, silat memainkan peranan yang cukup penting. Di era Kesultanan Melayu Melaka, silat berperanan sebagai ilmu pertahanan dan tonggak kekuatan sesebuah negara. Oleh kerana itulah para pembesar ketika itu dipilih dari kalangan individu yang memiliki ilmu kependekaran yang tinggi. Demikian juga perihalnya ketika zaman penjajahan British, Jepun dan Komunis, silat telah memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan survival orang Melayu ketika itu. 

Sungguh, silat adalah anugerah Allah yang cukup besar buat bangsa Melayu. Suatu keturunan manusia yang kecil dari segi fizikalnya tapi dikurniakan ilmu yang hebat bagi mengimbangi kekurangan fizikal itu.

Dewasa ini silat mempunyai peranan yang baru. Silat adalah wadah pembangunan anak muda yang serba lengkap. Pengajaran dan pembelajarannya merangkumi aspek ketahanan fizikal, mental dan spiritual. Anak muda khususnya diasuh agar menjadi manusia yang berdisiplin, menghormati orang tua, menghormati guru dan menghormati sesama ahli persilatan. Selain itu mereka juga dididik menjadi manusia yang berani dan tidak takut akan sebarang cabaran. Kekuatan inilah yang menjadikan mereka manusia yang cekal dan tabah dalam menjalani kehidupan.

Selain itu pesilat juga diterapkan dengan ilmu agama sebagai bekalan kerohanian. Sejarah membuktikan para pesilat dan pendekar Melayu yang hebat lazimnya terdiri dari individu yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Perhatikan sahaja Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Panglima Salleh, Haji Hamid Hamzah, semuanya adalah individu yang berpegang teguh kepada ajaran Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


Cikgu Nasir menyampaikan kuliah Maghrib kepada para pesilat selepas selesai mengimamkan solat

Justeru dapatlah disimpulkan bahawa silat bukanlah suatu ilmu yang tidak efisien lagi di zaman ini. Namun begitu, seperti kata pepatah, hanya jauharilah yang mengenal manikam. Aktif bersilat bukan bermakna mengabaikan pelajaran, kerjaya dan agama..~


Semoga para pesilat Sendeng Haji Hamid semuanya menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat...~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...