Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Monday, December 19, 2016

Khatam Silat di Bangunan UMNO Bentong Tahun 1971

Foto Kenangan di Bangunan UMNO Bentong 1971


Khatam Silat di Bangunan UMNO Bentong Tahun 1971
Sempena Kemeriahan Khatam Silat baru-baru ini yang masih dirasai, Saya belanja gambo lama dalam simpanan pakcik Amin. beliau ada banyak koleksi lagi gambo lama.Partner Gelut Pakcik Rahman Satam.

KISAH AKI DI KELANTAN

Pekan Tanah Merah Kelantan suatu masa dahulu


Cerita Aki mengajar di Kelantan.

Lepas Insiden menyepak orang di Alor Gajah ( yelah darah muda ) Aki telah ditukarkan ke SMK Tanah Merah di Kelantan. Naik kereta api Aki ke sana. Sampai di sana dah dekat Isya'. Maka tercari-cari Aki gerangan mana nak bermalam pada malam itu.

Maka adalah seorang yang baik hati menunjukkan rumah ketua kampung disitu dan alhamdulilah ketua kampung itu sudilah menerima Aki untuk bermalam disitu untuk semalaman.

Maka keesokannya Aki melapurkan diri di sekolah tersebut dan ditempatkan di kuarters guru-guru bujang di situ. Bermulalah kehidupan Aki sebagai guru dinegeri Pantai Timur.

Di situ Aki menghabiskan masa petangnya bermain takraw dan malamnya berlatih silat diatas rumah. Perbuatan Aki itu menjadi buah mulut cikgu - cikgu disitu. Maka ditanya oleh salah seorang daripada mereka satu soalan.

" Silat mu ni kalu adu denge tomoi boleh gi dok? "
" belum cuba, belum tahu" jawab Aki ringkas

2,3 malam berikutnya selepas maghrib, Aki menerima kunjungan dari sepasang suami isteri yang Aki kenal membawa anak saudara mereka bernama Mat *****. Setelah memperkenal anak saudara mereka, mereka dengan sopan menyatakan hajat mereka untuk melihat silat melayu bermain dengan tomoi.

" Boleh cuba kalau sekadar nak main" jawab Aki dengan sopan. Ye tak ye nak lari kemana? duduk rumah sendiri.

Maka bangunlah kedua-duanya nak berboxing di atas rumah. Maka bila bersedia. Si Mat ni pun menyepak tinggi menghala ke kepala Aki. Dalam kata mulut Aki, dia 'leng' elak sikit. Mat menyepak lagi, sekali lagi Aki elak. Bila kali ke 3 si Mat nak menyepak, Aki dah bersedia. Pantas aki masuk dan menyelak kaki si Mat dan di bantingnya ke lantai. Bedebam!! ( yelah rumah bertiang lantai kayu)

Terkejut si Mat. cepat dia bingkas bangun,
'" kita cuba lagi" kata si Mat.

Pusingan Kedua perkara yang sama berlaku! Muka Mat dah merah. Permainan jadi jadi kasar dah. Masuk round ke 3 bila sudah dapat membaca riak si Mat ni nak menendang, Aki masuk dulu dan menumbuk keras dada si Mat. Mat yang tergantung kakinya sebelah kaki jatuh macam nangka busuk. Aki segera meletakkan lutut sebelahnya atas dada mat. tangan kirinya menggenggam penumbuk sambil berkata:

" Bangun perlahan-lahan, Mat "
Bangunlah Mat dengan perlahan sambil berkata:
" Kaloh kito pada silat hok ni. :

Maka bersalam-salamanlah mereka berdua dan mereka berempat menghabiskan malam itu meminum kopi, makan biskut kering dan berbual-bual.

Dalam pada tu Aki pun berjumpa Wan ( hihihi) yang menjadi guru sandaran di sekolah tersebut, lalu jatuh cinta. Aki telah berjumpa dengan Ayah Wan ( Tok Ayoh ) dengan tujuan untuk menyunting. (itu cerita lain lagi best).

Dalam sibuk-sibuk nak membawa keluarga dari Melaka ke kelantan. Terkejut Aki mendapat tahu beliau akan ditukarkan ke Bentong Pahang. Kehairanan kerana beliau baru setahun lebih ditukarkan kesitu, pergi naik ke pejabat bertanyakan hal.

Dari situ Aki mendapat tahu hal yang sebenarnya. rupa-rupanya, cikgu lain yang kena tukar, Anak orang berpengaruhlah kat situ. Tetapi lahabau ni telah menggunakan pengaruh ayah dia untuk menggantikan nama dia dengan Aki.

Keberangan Aki balik ke kuarters lalu bertanya ke si cikgu ni kenapa tukarkan nama dia dengan nama Aki? Si cikgu ni pulak hanya ketawa sahaja semacam mengejek. Berang, Aki terus menampar cikgu tu. Tersentak kebelakang kena penampar itu cikgu terhalang dengan kayu beranda, hampir-hampir nak jatuh ke tanah kepala dahulu. Mujurlah Aki dapat menangkap kaki cikgu itu.

Seminggu kemudian dalam perjalan balik ke kuarters, Aki telah dihalang oleh 6 orang pemuda. Salah seorang dari mereka si Mat ni.Mat pun menasihati.

"Gi lah cikgu tukar. Alik belah sini kito doh nasihat ore jange campur. Kito tahu siapo hok saloh. Tapi Kito tok berani jamin hok ore alik belah sano( siam) jenih maghi pakai bedil.

( rupa-rupa sicelaka dan ayahnya ni dah upah orang nak pukul dan tembak Aki ).

Maka dengan berat hati Aki pun berangkat ke Bentong duduk rumah sewa yang baru siap ( simen lantai dapur pun tak betul kering lagi). Alamat rumahnya ialah KT 2 ketari. Seminggu selepas itu Arwah tok Yam pun sampai bersama-sama2 dengan Atok Adan untuk ke Kelantan meminang Wan. sekian.

lepas ni saya cerita kopral Hanim RGK belajar silat dengan Aki- kelas pertama sendeng di Pahang.

GRADING SILAT SENDENG HAJI HAMID SMK SERI RAUB

Pada Rabu 26 Oktober 2016 yang lalu, telah diadakan majlis grading peringkat sekolah di SMK Seri Raub. Majlis ini diadakan bagi menilai dan menguji tahap penguasaan pesilat-pesilat Sendeng Haji Hamid SMK Seri Raub sesi 2016 bimbingan Tuan Haji Muhammad Nasir bin Nahuri. Majlis ini turut dibantu oleh saudara Arifin Raub, saudara Mohamad Zuhairi, saudara Sofri Yusairi, saudari Fauziah dan beberapa orang lagi pesilat senior.Tahniah diucapkan buat semua yang berjaya lulus ujian pencapaian tahap 1 & 2. Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis samada secara langsung atau tidak langsung. Anda memang terbaik!


























PENDEKAR PUTIH

Sultan dan Pahlawan Jambi (Foto Hiasan)


Pendekar Putih

Dalam salasilah perguruan Sendeng Sg. Mati, tercatat nama Pendekar Putih yang berasal dari Jambi. Sebagai seorang yg mencari sanad puas saya mencari sesiapa yg mengetahui asal usul gerangan pendekar Putih ini dan bagaimana nama beliau boleh tercatat dalam salasilah perguruan ini. Sehinggakan Aki sendiri pernah berkata, beliau sendiri tidak pernah mendengar nama beliau sehingga Pesrsatuan ini didaftarkan sebagai Sendeng Malaysia.

Namun segala-galanya berubah setelah kunjungan saya yg terakhir ke rumah Tok Sidang di Chohong Melaka, beberapa bulan yang lepas. Bagaikan tahu apa yang tersirat di hati saya dan tanpa di tanya beliau pun mula bercerita.

Panglima Putih ini berasal dari Riau , setelah berlaku pertelingkahan di sana, beliau pun telah membawa suku sakat keluarga beliau ke Jasin. Di Jasin beliau telah mendirikan sebuah masjid.beliau juga menjadi imam di masjid tersebut. Masjid itu sekarang dikatakan tinggal tapak sahaja. Di belakang masjid itu pula beliau telah menggali sebuah perigi. Saiz perigi itu pula tidaklah sebesar mana, cuma besar sikit dari sebuah baldi sahaja. Menurut Tok Sidang, air di perigi tersebut walau pun kecil tidak pernah kering airnya walau pun dalam musim kemarau.

Di Jasin Pendekar Putih telah dipanggil Tok Putih. Menurut Tok Sidang, tidaklah benar Tok Taman Dagang pergi ke Riau dan belajar Sendeng disana sebaliknya Beliau belajar sendeng dengan Tok Putih disini di Jasin. Selain belajar dengan Long Mamat, Taman Dagang juga belajar sendeng dengan Tok Putih. Pendekar Putih seorang yang hebat, kerana bukan mudah Tok Taman hendak berguru dengan seseorang kerana beliau sendiri seorang yang hebat serta terkenal dengan kegagahan beliau.Tok Putih telah dikebumikan di Jasin. Tok Sidang yang tahu lokasi kubur Allahyarham berkata kubur beliau telah tumbuh sepohon pokok kemboja yang sekarang tumbuh segar dan menjadi begitu besar.

Sekarang nak cari cerita Engku Kumudin, Pulai Melaka pulak kerana bila saya bertanya Tok, beliau tak tahu. Adakah sesiapa yang boleh membantu saya?

Wednesday, August 10, 2016

PERGINYA SEORANG GURU

Bingkis Buat Guru

Khamis, 14 Julai 2016 bersamaan 9 Syawal 1437 Hijrah. Hari ini adalah hari yang paling mendukacitakan dalam sejarah penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang. Kami telah kehilangan sebutir permata yang sangat berharga buat kami, iaitu guru dan ayahanda yang kami kasihi, Tuan Haji Jamaluddin bin Shahdan. Beliau yang sememangnya menghidap penyakit tekanan darah tinggi telah diserang strok sehari sebelum pemergiannya dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12 tengah hari di Hospital Temerloh. Pemergian beliau bagi meninggalkan satu lubang besar dalam hati kami. Tokoh yang tidak boleh dicari ganti.

Jasa Allahyarham terlalu banyak buat kami. Tidak sekadar dalam dunia persilatan sahaja bahkan turut merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Perjalanan hidup beliau yang penuh dengan pengalaman menjadikan kata-kata yang keluar dari mulut beliau begitu berharga. Bekalan yang sangat berguna dalam menempuh hari mendatang. Sungguh Allah S.W.T sahajalah yang dapat membalas jasa beliau.

Semoga Allah S.W.T mengampunkan segala dosa-dosa Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Bagi pihak Tuan Haji Jamaluddin, saya meminta semua yang mengenali beliau dapat memaafkan segala kesalahannya andai ada silap dan salah beliau terhadap tuan-tuan semasa hayatnya.. Al-Fatihah..~

Cerita sebagai Pedoman


Pada zaman dahulu,Di satu kampung di pedaman negeri China, terdapat seorang lelaki yang mengusahan perusahan membuat payung dari buluh dan kertas minyak secara kecil-kecilan ( Payung ni juga popular zaman dulu kat sini.)

Pada suatu hari beliau didatangi seorang budak miskin , yatim piatu yang berpakaian compang camping dalam keadaan comot menangis meminta kerja dari beliau. Kesihan melihat budak itu, lelaki itu bersetuju memberikan dia kerja disamping menyediakan tempat tinggal serta makan minum.

Maka bekerjalah budak itu dengan penuh tekun dan sabar membantu lelaki itu bertahun-tahun lamanya. Berkat kecekalan budak itu, perniagaan payung lelaki itu bertambah maju dan berkembang. kedai itu mampu menggaji beberapa orang lain lagi sebagai pekerja Budak itu pula sudah menguasai keseluruhan aspek pembuatan payung dikedai tersebut itu.

Kini orang itu sudah pun tua dan perniagaan itu sudah dikendalikan oleh budak lelaki itu yang sekarang ini berusia awal 20an. Lelaki tua itu hanya duduk di rumah dan mengira keuntungan hasil jualan payung

Lama kelamaan remaja itu tidak berpuas hati kerana pada pandangannya segala titik peluh hasil kerjanya telah dikaut oleh lelaki itu tadi.

Pada suatu pagi, remaja itu berkata kepada lelaki tua itu yang beliau ingin berhenti kerja dan memulakan penghidupan yang baru ditempat lain.

Remaja itu membuka kedai payung disuatu bandar yang berhampiran kedai lama itu tadi. Beliau pun membuat payung sebagai mana yang beliau pelajarinya dahulu. Apabila siap semua payung-payung itu maka beliau membuka sekaki payung untuk melihat keindahan payung tersebut.

PRAK!!!
Pecah buluh payung tersebut! kehairanan remaja itu membuka payung-payung yang lain.
PRAK! PRAK! PRAK!

Kesemua payung yang beliau buat tu pecah dan terbelah!

Remaja dahulunya berbangga dengan kemahiran yang beliau miliki kini berasa sedih dan kerdil kerana kemahiran yang dimilikinya itu tidak dapat menghasilkan walaupun sekaki payung pun secara bersendirian.beliau sendiri tidak tahu mana silapnya hingga kesemua payung-payung itu menjadi begitu.

Dengan menebal muka beliau kembali ke rumah orang tua itu sambil membawa beberapa hadiah untuk memohon maaf sambil ingin merayu untuk kembali bekerja ditempat yang lama.

Apabila pintu rumah diketuk. Yang membukanya hanya anak gadis orang tua itu.
" Ayah mana? Tanya pemuda itu.
" Ayah tak ada, dia pergi rebus buluh" Kata anak gadis itu.

Segera pemuda itu menyerahkan hadiah-hadiah itu dan berlari pulang ke kedainya. Ooo buluh kena rebus dahulu baru boleh buat payung!!!

Pengajarannya
*Walaupun kita tahu banyak, tapi kunci setiap ilmu itu dipegang oleh guru.
**Kita rasa tahu banyak tetapi ada banyak lagi sebenarnya yang kita tak tahu.
*** hormatilah guru-guru lama kerana ada banyak yang mereka tidak ajar lagi.

sekian wassalam

MUHASABAH DIRI

Jawapan kepada soalan lazim, mengapa 10 jadi 9 jadi 8.

Ungkapan popular dalam persilatan melayu.., Guru tidak akan mengajar semua yang dia tahu kepada muridnya.kerana takut murid akan melawan guru. Sekiranya itu berlaku sekurang-kurang guru tersebut ada 'ibu' buah kepad semua buah yang diajarnya ke murid tersebut.

Malanglah begitu kalau ianya benar-benar berlaku. 1. Dilabelkan guru sebagai kedekut ilmu 2. Murid berkemungkinan akan lawan guru bila dah hebat. Apa punya peradaban melayu entah. Kalau ada pun kes-kes terpencil aje, apatah lagi kalau nak lawan balik guru. memang tak ada.

Tapi kalau kita belajar di sekolah, kita akan tahu semua guru akan mengajar perkara yang asas sahaja. Untuk memantapkan diri kena berlatih dan berlatih tanpa jemu. Tapi kita yang dah rasa jemu ni label pulak guru kita ni kedekut. Di situ kita lihat hati kita ni tak bersih dan ikhlas dalam belajar ilmu ini. Kita yang belajar ni perlu tahu letak tempat dimana kita duduk ni:

" Kita tunggu guru bagi bukan kita minta guru bagi "
Kenapa silat ni makan masa bertahun untuk mahir bukan berbulan apatah lagi berminggu. Setiap gerak yang kita belajar kita 'asamkan' sampai masak. baru ketahap lain. Tetapi yang penting seseorang guru itu akan melihat ketulusan dan keikhlasan hati kita. Guru membaca riak dan niat hati kita. Bagi yang ada riak payahlah nak dapat yang baru, Bagi yang ikhlas dan jujur mudahlah dapatnya. Itu bukan namanya pilih kasih atau kedekut tetapi sebenarnya seseorang guru itu mesti yakin dahulu ilmu yang disampaikan, diturunkan kepada guru yang amanah.


Musabah diri kita sikit. kita murid ni adab bergelanggang tak ada.
1. Selagi guru tak sampai, bukan nya nak berlatih atau warm up.
2. Bila berhenti berlatih 'take 5' minum air lepas tu ambik handfon.
3. Masa latihan hanfon berbunyi terus berlari ketepi ambik, jawab. kurang ajar!!! guru ada mengajar kat depan tu..
4. Kat rumah lansung tak berlatih.
5. duduk kat takuk sama tak bergerak terus rasa boring. nak benda baharu nak banyak. tapi benda yang lama tak kemas lagi pergerakannya lagi, malah tak ingat pun lagi. Apatah lagi tak faham pun makna pergerakannya pun dah nak kalih.
6. Tahu sikit tunjuk banyak, jalan lagaknya pendekar.
7. Tak konsisten. nak datang dia datang, malas tak datang.
8. Time bola memang tak pernah nampak muka dia.
9. Berani pula minta benda yang bukan-bukan.. Ini banyak kali Aki terkena. datang tak tau dari mana anak murid siapa empunya diri siapa.Baru 10 minit bercakap dah mintak kipas senandung la, tujuh hari kuntau la. dan lain-lain. Ada banyak lagi.

berlatih dan perkemaskanlah apa kamu tahu, baru mudah guru nak memberi.
Sebelum melabel guru dengan itu dan ini cermin diri kita dulu.
Banyak kali bila masa bersilat Aki melihat seseorang itu dan bercakap orang itu akan jadi begitu dan begini. Lepas 2 tahun betul yang Aki cakap.
" Riak ikan di air, sudah tahu jantan betina ".

Ada yang datang nak buka gelanggang nak mengajar.., Menggeleng kepala Aki selepas tengok dia membuka langkah...
bukan laqak guru lagi., kasar.

Tuesday, May 24, 2016

SILAT MELAYU

SILAT MELAYU
Apakah erti Silat Melayu di mata kita hari ini..

Pukulan 7 Hari Kuntau Telok Mas dan 7 Hari Aziz Bai

Kembali menulis..,Kisah pukul 7 hari Kuntau Telok Mas dan 7 hari Aziz Bai.

Sebenarnya agak banyak juga saya ingin berkongsi cerita. tetapi banyak juga rasanya yang tak lepas tapisan keselamatan. alahai

Walaupun saya sudah mengagak jawapannya tapi semalam saya bertanya juga untuk kepastian asal usul pukul 7 hari Aziz Bai dengan Aki.

Aki menjawab "
" Kan Aziz Bai tu anak saudara Haji Hasan dan dia belajar dengan Haji Hasan jadi permainan dia permainan kuntaulah. Aziz Bai tu tinggi orangnya berjanggut panjang. Engkau pernah jumpa dia? tanya Aki

" Tak pernah " jawab saya

kemudian Aki menambah
"Walaupun Haji Hasan tu Bapa Saudara dan guru kepada Aziz Bai. Tapi ada sekali tu Aziz Bai dan Haji Hasan berbalas-balas cakap sehingga meninggi suara.Tak tau pulak punca perselisihan faham tu. Masa tu dah lupa siapa guru, siapa murid. mana bapa saudara, mana anak saudara. Akhirnya Haji Hasan bercakap:

"Engkau rasa ilmu cukup dan hebat cuba engkau tumbuk aku sekali."

Aziz pun menggengam penumbuk dan terus menumbuk. Belum pun penumbuk Aziz Bai tu sampai. Haji Hasan dengan pantas telah meyepak dulu kepala Aziz Bai dengan menggunakan sepakan ala takraw " kata Aki

Bayangkan Haji Hasan tu kecil aje orang dan Aziz Bai tu pula tinggi. Pantas dan tinggi sungguh sepakan Haji Hasan. Belum penumbuk sampai penyepak kaki sampai dulu.Sepakan Haji Hasan menyinggah di kepala Aziz Bai dekat belakang telinga.

" Menyembam kepala dulu ke tanah." Tambah Aki.

Saya bertanya sekali lagi pada Aki.
"Jadi pukul 7 hari Aziz Bai tu pukul 7 hari kuntau Teluk Mas lah bukan 7 hari sendeng?"

" Ye kan dia belajar Tok Haji Hasan. dia mana ada belajar sendeng. Aku kan belajar pukulan Kuntau melaka tu dari Wak Serang anak murid Dollah Polong. Kemudian Dapat juga merasa belajar dengan Haji Hasan salah seorang murid Dolah polong yang terkenal"

" Cuba engkau bayang lepas aku habis dengan Wak Serang, Aku belajar pula dengan Haji Hamid, dapat belajar dengan Haji Hasan. 3 tahun aku belajar, bila balik jumpa tok, dia pukul aku bodoh-bodoh jer.( ada dalam entri lama saya).begitulah hebatnya permainan kuntau ni." terang Aki

dalam hati saya
Alhamdulillah dua dua silat lama yang hebat ni dapat disatukan.
Mohon berbanyak maaf jika ada yang tersinggung dengan entri saya kali ni.

Monday, April 4, 2016

BERTEMU LAGI!

As'salamualaikum. Lama sudah rasanya blog ini tidak dikemaskini. Ianya berikutan beberapa masalah tenikal yang menghalang dari ia dikemaskini. Namun alhamdulillah sudah selesai. Insya Allah selepas ini blog ini akan aktif semula setelah beberapa bulan berehat. Untuk mendapatkan perkembangan aktiviti kami bagi tempoh beberapa bulan lalu, sila lawati facebook kami. Taip sahaja Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid dan ikuti segala perkembangan aktiviti kami telah dimuatnaik di sana. JUMPA LAGI!

Admin AR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...