SENJATA MELAYU (Tombak & Lembing)
Menurut pandangan masyarakat biasa, tiada bezanya antara tombak dan lembing. Namun sebenarnya dua senjata ini adalah sangat berbeza.
Senjata-senjata ini boleh dibezakan melalui bentuk dan saiz matanya. Mata tombak lazimnya lebih lebar dan nipis manakala lembing pula lebih halus dan tirus. Batang tombak lazimnya dibuat dari kayu yang kuat, teguh dan liat manakala batang lembing pula lazimnya diperbuat daripada kayu yang lebih ringan. Perbezaan ini adalah kerana fungsi dan kaedah kendalian kedua-dua jenis senjata ini adalah berbeza.
Tombak ialah senjata pertarungan yang dikendalikan dengan kedua belah tangan. Ia digunakan untuk menahan, menangkis, menikam dan memarang lawan. Oleh sebab itulah ia dibina dari kayu yang lebih kukuh dan matanya juga lebih lebar agar dapat membelah dengan lebih kuat dan berkesan. Sesetengah jenis tombak juga boleh dilontar, namun ia hanya efektif dalam jarak yang dekat.
Lembing pula ialah senjata yang digunakan dengan teknik rejaman secara khusus. Ia digunakan untuk melontar kepada sasaran yang berada dalam jarak yang jauh. Justeru itulah struktur binaannya lebih ringan supaya lontaran dapat menjangkau jarak yang lebih jauh. Matanya juga sengaja dibuat halus dan runcing agar dapat meluncur dengan lebih stabil di udara dan dapat menembusi tubuh sasaran dengan impak yang maksima.
Sungguh orang Melayu dahulu lebih bijak dari apa yang kita fikirkan..~
admin - 9/1/2020