Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Sunday, August 7, 2022

Latihan Silat Sendeng Haji Hamid di SK Raub Jaya

"Benih yang baik, sekiranya disemai di atas tanah yang subur, ia akan bercambah, bertunas dan membesar menjadi pohon yang berbuah"

 - Tuan Haji Jamaluddin Shadan (Aki Jamal)

Suasana latihan Silat Sendeng Haji Hamid di SK Raub Jaya pagi 6 Ogos 2022. Gelanggang dikendalikan oleh Cikgu Nasir dan dibantu oleh saudara Qhairul.

Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa mengurniakan kesihatan kepada Cikgu Nasir dan semua warga Sendeng Haji Hamid untuk meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa~









Admin
7 Ogos 2022
11.11PM


Sesi Latihan Gendang Silat

"Tiada usia terlalu tua dalam belajar, tiada usia terlalu muda dalam ilmu."

Sesi latihan gendang silat malam tadi. Tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga terus istiqamah dalam perkongsian ilmu..~







Admin 7 Ogos 2022
11.02PM


Persembahan Seni Silat Sendeng Haji Hamid di SMK Mahmud Raub

Persembahan Seni Silat Sendeng Haji Hamid pada 29 Julai 2022. Memenuhi undangan pihak SMK Mahmud Raub bagi menyambut tetamu VIP merasmikan Hari Sukan Sekolah. Semoga seni warisan Melayu ini kembali subur di kalangan generasi muda, dan terus mekar sepanjang zaman..~








Saturday, August 6, 2022

Suasana latihan Sendeng Haji Hamid di SMK Seri Raub

Suasana latihan Sendeng Haji Hamid di SMK Seri Raub pada 26 Julai 2022

Persilatan adalah lebih dari sekadar menumbuk dan menendang semata-mata. Ia adalah pustaka warisan Melayu yang sarat dengan ilmu dan budaya. Khazanah di dalamnya tidak pernah dapat digali habis walau sudah bertahun-tahun dicuba. Menekuninya benar-benar menambah kekayaan jiwa. Gelanggang ini menjadi saksi, akan lahirnya insan-insan yang berperibadi baik dan mulia. Sebahagian mereka menjadi insan yang berjaya dan sebahagian lagi menjadi insan yang berguna. Seiring masa yang berlalu dengan pantasnya, kita akan lebih memahami dan menghargai perjuangan insan yang bergelar GURU dengan sebenar-benarnya, samada mereka sudah tiada, ataupun masih bersama..~


Sambil mengajar, sambil belajar. Satu perjalanan yang tak berpenghujung..~


Yang lama dihormati, yang baru dikasihi..~



Adakalanya apa yang terzahir di dalam hati itu lebih terpancar di mata berbanding kata-kata~


 Gelanggang silat adalah tempat yang baik untuk kita berpeluh mengisi masa muda..~



Ilmu pertahanan adalah bekalan bagi setiap jiwa~



ilmu dalam ceritera



Cikgu Nasir, tak pernah jemu menabur jasa~



Admin
07 Ogos 2022







Kisah Allahyarham Haji Hamid memenggal kepala Ketua Komunis Bintang 3 di Sungai Mati.


Kisah ini dititipkan kepada saya sendiri oleh Pakcik Ahmad Nazari bin Haji Abdul Hamid setelah mendengarnya daripada Allahyarham Andak Rahani dan isteri kepada Almarhum Alang Hamid sendiri.

Kejadian ini berlaku dalam tempoh 2 minggu selepas Jepun menyerah kalah dalam perang dunia ke dua dan British belum lagi tiba ke Tanah Melayu. Ketika tiada siapa yang memerintah Tanah Melayu , pihak komunis telah keluar dari hutan dan bermaharajalela sesuka hati mereka. Mereka dengan sewenang-wenangnya menculik dan membunuh sesiapa sahaja yang difikirkan menentang mereka pada ketika itu.

Di Kampung Sungai Mati, mereka telah keluar dari hutan beramai-ramai dan menjadikan sebuah Sekolah Cina di Kampung itu sebagai markas operasi mereka. Maka mulalah mereka memerintah dengan penuh angkuh dan kejam. Ramai melayu yang menjadi mangsa dan hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan. Orang Melayu ketika itu hidup dalam suasana penuh ketakutan.

Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Alang Hamid yang mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak yang masih kecil ketika itu. Tak tahu di manalah silapnya beliau, komunis bintang 3 telah bertindak menangkap beliau lalu dimasukkan ke dalam guni. Kemudian Alang Hamid terus dibawa pergi dengan diiringi pekik tangis isteri dan anak-anak beliau yang masih kecil. Itulah kali terakhir isteri serta anak-anak beliau melihatnya masih hidup. Sehingga kini kuburnya tak tahu di mana.

Apabila mendapat khabar berita gempar itu, Arwah Uda yang pada ketika itu masih lagi muda, telah bertindak pantas menyembunyikan isteri dan anak-anak Alang Hamid di Pulau Penarik bagi mengelakkan perkara sama berlaku ke atas isteri dan anak-anak Alang. 

Melihat keadaan anak isteri Arwah Alang Hamid ketika itu, tahap kesabaran Uda sudah sampai ke penghujungnya. Setelah memperolehi gambaran kasar rupa si ketua bintang 3 keparat itu, beliau telah bertindak mengasah parang beliau sehingga tajam. Dalam hati beliau bintang 3 ni mesti diberi pengajaran dan ketua mereka mesti mati.

Haji Hamid kemudiannya bertindak berselindung di belakang sebatang tiang elektrik sambil memerhati keadaan di Pekan Sungai Mati, menunggu kelibat si sepet yang dihajati itu. Parang yang dibawa beliau telah disisipkan di tiang elektrik tersebut. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya kelibat si ketua Bintang 3 itu pun muncul.

Si ketua komunis tersebut telah memasuki sebuah kedai basikal di Kampung Sungai Mati itu. Tak tahu apa puncanya, seketika kemudian telah berlaku pertengkaran diantara tokey kedai tersebut dan si komunis itu tadi. Peluang keemasan itu segera dimanfaatkan oleh Uda Hamid. Ketika si ketua tersebut sedang leka memarahi tauke kedai itu, Haji Hamid pun mencabut parang yang disisip pada tiang letrik yang disandarinya dan segera menghampiri si komunis tersebut. Tanpa bercakap sepatah pun beliau terus menghayun parang yang dipegangnya.

" Syiap!!!"

Dengan sekali libas sahaja terus terpisah kepala komunis itu dari badannya. Kepala itu seakan-akan terlambung sebelum jatuh bergolek di lantai kedai basikal itu. Badanya kemudian rebah ke lantai tergetik-getik sambil darah pekat menyembur keluar dari puntung leher dan menyirami lantai dan badan tauke kedai basikal tersebut yang pada ketika itu menjerit jerit terpekik terlolong.

Haji Hamid kemudiannya tenang berjalan kaki balik ke rumah dengan tangan serta parang yang berlumuran darah. Setibanya di rumah, barulah Uda Hamid perasan yang dibawa balik itu hanyalah parang sahaja sedangkan sarungnya masih terselit di tiang elektrik di Sungai Mati berhampiran tempat beliau memenggal kepala komunis itu tadi.

Tanpa banyak cakap beliau pun berjalan kaki semula mengambil sarung parang kepunyaan beliau itu. Ketika beliau sampai disana, kedai basikal tersebut telah pun penuh dengan anggota komunis bintang 3. Dengan selamba sahaja beliau mencabut sarung parang tersebut dan menyarungkan parangnya kembali.

Anggota-anggota komunis yang tergamam dengan kehadiran beliau kembali ketempat itu, hanya memerhatikan beliau dengan penuh ketakutan tanpa berbuat apa apa.

Tindakan beliau yang berani memenggal kepala ketua Bintang 3 dan kemudiannya dengan bersahaja mengambil sarung parang yang tertinggal telah menimbulkan perasaan takut dan gerun di kalangan komunis bintang 3 itu. Mereka segera bertindak meninggalkan markas sekolah cina itu dan kembali ke hutan.

Bagi keluarga Alang Hamid, setelah sekian lama mereka menunggu tanpa khabar berita dari Alang Hamid, telah mengambil keputusan untuk berpindah ke Segamat dengan mengambil kira Alang Hamid berkemungkinan besar sudah lama mati dibunuh oleh pihak komunis.

Pada tahun diantara 1989/90, Haji Hamid telah jatuh gering dan dimasukkan ke HKL dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pada ketika itu Arwah Haji Hamid telah ditemani oleh Isteri beliau serta Pakcik Ahmad Nazari sekelamin. Suatu hari, mereka bertiga telah dikejutkan dengan kehadiran seorang perempuan berusia dalam 70an bersama sama dengan 2 orang anak lelaki dalam usia 40an.

Sebaik baik melihat muka Uda, perempuan tua itu pun terus menangis teresak-esak sambil mengiakan kepada kedua anak-anak beliau bahawa inilah insan yang pernah menyelamatkan mereka bertiga. Rupa-rupanya anak perempuan itu setelah mendapat tahu Uda Hamid dari Sungai Mati telah dimasukkan ke HKL telah menelefon ibu mereka untuk ibunya mengesahkan bahawa inikah orang yang ibunya selalu sebut-sebutkan. Maka Ibunya telah bertolak dengan seorang anaknya lagi dari Segamat untuk bertemu dengan Haji Hamid bagi mengucapkan ribuan terima kasih.

Di sinilah baru Tok Besah, Pakcik Ahmad Nazari sekelamin tahu cerita yang lebih lanjut kerana peristiwa itu berlaku ketika Uda Hamid masih lagi muda dan masih belum berkahwin. Arwah Uda pula sememangnya jenis berat mulut untuk menceritakannya sendiri.

Perempuan itu turut sama menjaga Uda Hamid selama seminggu dengan harapan arwah Uda sedar agar dapatlah beliau mengucapkan terima kasih secara secara peribadi.

Namun kita punya usaha Allah punya Esa, setelah seminggu berada disitu Arwah Uda masih juga tidak sedarkan diri. Dengan rasa berat hati, perempuan itu pun kembali ke Segamat.

Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan menulis kisah ini, segala salah dan silap saya mohon ribuan maaf dan berharap kisah ini dapat menyuntik semangat anak-anak Melayu untuk mempelajari silat. 

Sama-sama kita sedekahkan Al- Fatihah kepada pejuang pejuang dan pahlawan kita yang telah gugur serta guru guru Sendeng yang telah pergi.

 Al - Fatihah

Admin -07 Ogos 2022

Monday, July 11, 2022

𝐒𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐀𝐈𝐃𝐈𝐋𝐀𝐃𝐇𝐀 𝟏𝟒𝟒𝟑 𝐇𝐈𝐉𝐑𝐀𝐇 | 𝟐𝟎𝟐𝟐 𝐌𝐀𝐒𝐈𝐇𝐈



𝐒𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐀𝐈𝐃𝐈𝐋𝐀𝐃𝐇𝐀 𝟏𝟒𝟒𝟑 𝐇𝐈𝐉𝐑𝐀𝐇 | 𝟐𝟎𝟐𝟐 𝐌𝐀𝐒𝐈𝐇𝐈

Indah Langit Kerana Awan,
Indah Laut Kerana Kebiruan,
Indah Aidilfitri kerana Kemaaafan,
Indah Aidiladha Kerana Pengorbanan.
Semoga Aidil Adha tahun ini mengajar kita erti PENGORBANAN yang sebenar~

Saturday, July 9, 2022

Kisah Haji Hamid berdepan lembu liar.



Kisah Haji Hamid berdepan lembu liar.


Sedar tak sedar, Aidil Adha menjelang tiba. Tahun ini, dijangka suasana hari raya lebih meriah dari biasa. Maklum saja, susah beberapa tahun tidak disambut secara besar-besaran. Sempena Hari Raya Qurban esok, kami kongsikan sebuah cerita lama.

Suatu hari Aki Jamaludin Shahdan bercerita;

Pada satu hari, bapa saudara Allahyarham Haji Hamid telah mengajak Haji Hamid menangkap lembu untuk dibuat kenduri kahwin anak beliau di Padang, Muar. Apabila sampai di sebuah padang bola di situ, kelihatanlah sekawan lembu sedang meragut rumput. Haji Hamid pun bertanya,

"Lembu yang mana satu nak dibuat kenduri?"

Yang tu", kata bapa saudaranya sambil menunjukkan pada Allahyarham lembu yang dia berkenan.

Tanpa berlengah, Haji Hamid pun mengambil seutas tali lembu dan menghampiri lembu tersebut sambil memanggil,

" Bah! bah!"

Rupa-rupa lembu tak berkandang dan meragut bebas ni liar! Di terkamnya Haji Hamid lalu cuba ditanduk. "Ah!", dapat dielak oleh Allahyarham. Derasnya rempuhan lembu itu, tak sempat tali disangkut pada kepalanya.

Kemudian Haji Hamid mencuba lagi.

"Bah! Bah!"

Lembu itu meluru lagi. Kencang! Kalau terkena silap-silap boleh ke rumah sakit, atau ke batu dua. Dielak lagi oleh Haji Hamid kali kedua. Sekali lagi gagal diikat tali. Lajak lembu itu ke sebelah sana. Kemudian Haji Hamid berpaling ke arah bapa saudaranya sambil berkata,

"Lembu ni liar tak boleh tangkap hidup lah".

Masa tu bertambah ramailah orang berkumpul nak melihat Allahyarham menangkap lembu liar tersebut. Maka dijawab oleh bapa saudara beliau,

" La lembu ni kan nak buat kenduri, sapa kata nak bawa balik hidup".

Haji Hamid pun meletak tali ke tepi sambil membalas;

" Em, kenapa tak cakap siang-siang"

Beliau merapat ke lembu itu semula. Dihela nafas dalam-dalam kemudian diacahnya lembu itu sekali lagi,

"Bah! Bah!"

Lembu itu pun meluru kencang. Berdebar-debar jantung semua yang menyaksikan peristiwa itu. Tapi kali ini berbeza langkahnya, Haji Hamid pantas mengelecek, lajak lembu itu tadi, terus ditumbuknya leher lembu itu. "Krak!" Kedengaran bunyi kuat sampai ke tepi padang. Patah dan terkulai leher lembu itu. Berlipat kaki hadapannya, tersungkur ke tanah. Dalam nyawa-nyawa ikan, Allahyarham terus mencabut parang yang tersisip di pinggang dan menyembelih lembu tersebut di situ juga. Yang menonton menggeleng kepala melihat peristiwa itu.

Siapa kata pendekar Melayu tak hebat. Kalau Jepun ada Mas Oyama yang kerja asyik mematahkan leher lembu, pendekar kita pun tidak kurang hebatnya!

Admin

10/7/2022

12.45am


Saturday, May 21, 2022

Hasrat dan wasiat Almarhum Tuan Haji Jamaludin bin Shahdan kepada anak anak Sendeng Tn Haji Abdul Hamid





Hasrat dan wasiat Almarhum Tuan Haji Jamaludin bin Shahdan kepada anak anak Sendeng Tn Haji Abdul Hamid

Bagaikan akan tahu, usianya didunia ini tidak panjang, almarhum telah menurunkan wasiat beliau kepada saya serta beberapa orang lagi yang berkesempatan mendengarnya. Maka saya tulis wasiat ini mengikut bait bait tutur katanya sebagaimana ia diturunkan kepada saya.

1, Dek.., bila abah dah takde, persatuan ini kau serah balik kat Pakcik Atan kau. Orang lain tak boleh ambik persatuan ni. Ini hak dia dan keluarga dia.
saya pun bertanya: Lepas Pakci Atan ambik, Pakcik Atan kena buat apa Bah?
Terpulang pada Pakcik Atan kau.
2. Bila abah tak ada, kau kena tolong Pakcik Atan Kau. sebab dia sangat memerlukan pertolongan kita.
3. Silat ini adalah gabungan 2 silat yang tertua di Tanah Melayu. Ia ada harga diri dan adabnya tersendiri. Jangan sekali kali kau gadaikan maruah dan harga diri, silat ini semata mata nak dapatkan duit.
4. Rosak kebanyakan silat sebabkan politik, dalam silat ni, jangan ada dimasukan unsur politik. Bila duduk dalam silat ni, politik yang kamu bawak letak kat tepi tangga.
5. Silat ni tak ada guru utama, hanya ada waris dan majlis guru. Apa apa hal, rujuk kat kat Pak Atan kau.

Dalam dia tahun sebelum arwah pergi, beliau telah cuba untuk membawa guru-guru lama untuk dibawa berbincang dan bermesyuarah di Pahang. antara kata kata beliau

Bawak dia orang kesini, kita berbincang mencari kekuatan dan menegur budak budak baru ni. balik semula cara adab dan adat serta ajaran yang diturunkan oleh Uda Hamid. jangan dibiarkan budak baru ni buat sesuka hati dia orang jer.

Beliau berkata kepada guru lama.

Jangan takut hilang pengaruh, mesti berani menegur perbuatan salah pesilat. Jangan dijadikan kita macam quran buruk. mesti tegas.

Kepada anak murid silat pula beliau memperli

Macam mana kau boleh mengaku dia guru kau? Bila ditegur merajuk bermasam muka kemudian menghilangkan diri, sedor sedor dah jadi guru. Apa punya anak murid tu?

Yang paling kerap dipersoalkan: Siapa bagi tauliah kat kau mengajar? Aku pun dapat kat hujung tangga aje.

Petang terakhir hayat arwah. beliau datang ke rumah saya dekat dekat maghrib dan bertanya
" Dek macam mana rancangan kita nak bawak guru-guru lama berkumpul disini?"

Saya menjawab Abang dah cakap dengan Pak Atan, Pak Atan kata nak bawak berbincang anak beranak lepas raya nanti.

Aki menggangguk sambil berkata. Nanti bila kau jumpa dia orang nanti, Kau sampaikan salam Abah kat dia orang ye. Abah tak larat nak jalan jauh nak menjemput jemput ni.

keesokan harinya pada pukul 10.00pg. arwah telah diserang stroke pangkal saraf tunjang dan pada pukul 12.00 tengahari keesokannya Tuan Haji Jamaludin bin Shahdan menhembuskan nafasnya yang terakhir di HOSHAS, Temerloh.

Bagi saya secara peribadi

Pesatuan Sendeng Tuan Haji Abdul Hamid yang ditubuhkan di negeri Pahang ini, adalah untuk memenuhi hasrat dan pegangan arwah Aki dan bukan Guru lain.

Ditubuhkan di Negeri lain dengan izin dari Pak Atan Sendiri, Sekiranya tidak boleh mendokong hasrat arwah Aki, pulangkan balik nama sendeng Tuan Haji Abdul Hamid kepada kami di Pahang ini. Perjuangan tuan tuan sekadar kulit aje. Nampak sama, isi tak sama. sebagaimana logo dulunya sama sekarang tak sama, ikut tuan tuanlah nak tubuh sendeng apa. yang penting berdasarkan penulisan dan kiasan saya serta beberapa orang lagi dalam fb kami ni, perjuangan kami jelas.
Sekian, terimakasih

ADMIN
21.05.2022
4.03PM

 


 

Sejarah Penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Tuan Haji Abdul Hamid

Sejarah Penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Tuan Haji Abdul Hamid, Negeri Pahang serta Hasrat Arwah Aki dari pandangan seorang anak.

Assalamualaikum...memang sudah lama saya berniat untuk menulis sejarah persatuan ini, tetapi memandangkan kesuntukan waktu dan bebanan kerja maka saya beberapa kali telah menangguhkannya. Namun begitu suada masanya saya kira, saya perlu menulis sejarahnya secara ringkas dalam penuh kontroversi serta menyampaikan pesanan dan hasrat arwah Aki.

Sejarah Awal

Silat sendeng ini yang Arwah Aki pelajari dari Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid mula menapak di Pahang pada tahun 1969. di alamat KT 2, Ketari Bentong Pahang. Pada ketika itu Aki mengajar di SMRJK Ketari yang sekarang dikenali sebagai SMK Ketari, Kumpulan pertama yang arwah turunkan ilmu ini kepada 7 orang anggota unit gerak khas ( komando ) yang ditempatkan di Bentong, Pahang, ( yelah Bentong kan black area masa tu.) Koperal Hanim berminat untuk mempelajari sendeng setelah kalah dalam pergurauan gelanggang sebanyak 3 pusingan dengan Aki. Beliau sangat gembira dapat berkenalan dengan Aki kerana selama ini beliau sendiri tercari cari silat melayu yang boleh menandingi karate yang dipelajarinya. Didepan rumah inilah sendeng berkembang ke Raub, Lipis dan Kuantan mengikut pergerakan Aki dan anak anak muridnya. Di Kuantan misalnya bertapak ketika Aki mengajar di SMK Ayer Puteh, Manakala di Lipis mengikut Allahyarham Cikgu Rosli dan Allahyarham Wan Razak.

Di Kt 2 ketari inilah Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah telah turun sebanyak 7 kali bagi mengatamkan anak anak murid arwah Aki. Menurut Aki Arwah Uda turun bukan sekadar mengatamkan pesilat aje, tetapi beliau sendiri akan mengajar dan membetulkan gerakkan pesilat. Kadang kadang sampai 2 minggu arwah berada disini. Ramailah dapat merasa air tangan Arwah Uda pada masa ini. Antara yang masih hidup ialah cikgu Abdul Rahman bin Satam dan Pakcik Amin Bukit Piatu. Kata Aki masa Uda mengajar, dia tak berdiri ditepi tetapi akan berada dalam barisan menyorong pelebat. bila budak khatam, aku pun khatam sama ambil berkat guru katanya. Sebab itu lah Aki pantang kalau anak murid lamanya turun tapi duduk tepi buat buat senior. Kalau nak datang masa aku mengajar, masuk gelanggang dan sorong pelebat katanya. bukan tunjuk hebat. hebat engkau tu takde maknanya buat aku. katanya ketika menegur anak muridnya yang pernah mewakili Malaysia dan datang memakai track top malaysia.

Ketika menghantar Uda pulang pada kali ke 7, Aki telah menyerahkan duit belanja untuk datang pada kali seterusnya. Lalu ditolak oleh Uda semasa menaiki tangga rumah lama beliau diwaktu subuh.

'Tak payahlah Din duit duit ni, cukup dah asam garam kau ni. Boleh la kau mengajar. Tak Payah engkau panggil panggil aku lagi" begitulah lebih kurang kata Uda Hamid meninggalkan Aki dalam keadaan termangu-mangu bersendirian.

Walaupun Aki mengajar sendeng ini merata tetapi gelanggang di KT2 Ketari, tetap dibuka sehingga ditutup pada tahun 1985 dengan mengatamkan 7 orang pesilat terakhir gelanggang itu.

Pada lewat tahun 80an, kita dikejutkan dengan berita pemergian Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah.. seorang guru silat yang hebat, seorang tukang masak yang handal dan juga pernah menjadi Imam di Masjid Bukit Kangkar. Maka disinilah bermula langkah pembentukan Sendeng Malaysia.

Seni Silat Sendeng Haji Abdul Hamid

Seperti yang diketahui ramai, Sendeng Haji Abdul Hamid Negeri Pahang ditubuhkan selepas Sendeng Malaysia yang lama telah dibatalkan pendaftarannya oleh ROS Malaysia. Aki pada ketika menjadi presiden Sendeng Malaysia pada telah bertekad untuk tidak menyertai Sendeng Malaysia lagi. Biarlah sekiranya sendeng Malaysia dihidupkan kembali. orang lain selain daripada beliau yang mengapalainya. Aki banyak berkecil hati kerana berlaku banyak pertelingkahan dalam ahli ahli lama dalam masa yang sama arwah tidak tahu lansung akan perjalanan persatuan silat sendeng pada waktu tu. Beliau pada ketika itu merasakan seolah olah dipinggirkan. Justeru itu apabila Sendeng Malaysia dibubarkan telah memberi peluang kepada Arwah Aki membuka persatuan baharu khas untuk anak anak Pahang.

" Biarlah sendeng ini khas untuk anak Pahang sahaja" ujar beliau

Bagi memenuhi hasrat beliau, beliau telah berjumpa dengan anakanda kepada Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah iaitu En Ahmad Nazari bin Haji Abdul Hamid dan menyatakan hasrat beliau. Bukan mudah bagi Encik Ahmad Nazari untuk memberikan keizinan beliau apatah lagi persatuan ini ditubuhkan agak jauh dari negeri Johor serta apa bezanya dengan persatuan-persatuan silat sendeng yang lain. Akhirnya Aki menjelaskan sebab sebab tujuan penubuhan silat ini di Pahang. Maka penjelasan yang dibuat oleh Arwah Aki telah dapat memuaskan hati En. Ahmad Nazari. Setelah berbincang dengan Arwah bonda beliau serta mendapat restu maka En Ahmad Nazari bersetuju untuk turun ke Pahang bagi merasmikan penubuhan Persatuan Seni Silat Haji Abdul Hamid pada 14hb Ogos 2005 di Dewan Kris Mas, SMK Bentong. Namun begitu persatuan ini tertubuh dengan rasminya pada 6hb April 2006 apabila perlembagaannya diluluskan pada 6hb April 2006.

Apabila tubuhnya persatuan sendeng ini di Negeri Pahang, maka bermulalah episod episod yang tidak berapa sedap didengar. Yang banyak ialah berkisar tentang logo yang dipilh oleh arwah Aki. Menurut Allahyarham En Abdullah bin Talib (Abang Dolah ), mantan presiden, Sewaktu pemilihan logo logo tersebut, kebanyakan logo logo yang dihantar tidak cantik kerana menggunakan lukisan tangan dan hitam putih serta kasar kerana dilukis dalam keadaan tergesa- gesa. Haji Jamaludin kemudianya memilih logo yang dieka oleh anakandanya sendiri iaitu saudara Mohd Badlishah kerana rekaannya menggunakan komputer serta pelbagai warna dan nampak cantik. Namun begitu logo itu mendapat tentangan ramai orang dalam persatuan ini sendiri kerana berbeza jauh dari yang asal sehingga menyebabkan ia tidak dihantar ke ROS semasa awal proses penubuhan.

ADMIN
21.05.2022
4.00PM

HARI GURU



HARI GURU

Perjalanan perguruan silat adalah berkisar tentang hubungan antara guru dengan murid. Dari seawal seorang pesilat menjejakkan kaki ke gelanggang, bermulalah ia mengenal erti ihsan seorang guru. Berinjak dewasa, ia berbakti pula kepada guru, demi mengharapkan keberkatan dalam segala ilmu yang telah dan sedang dituntut. Suatu hari, mungkin dia pula yang akan menyambung perjuangan guru, menyebarkan ilmu buat anak bangsa. Namun di usia apa sekalipun, nama baik seorang guru tetap dipelihara.

Saya terkenang Arwah Aki ketika di akhir-akhir hayatnya, beliau masih seperti selalu, menyebut-nyebut tentang gurunya, Haji Hamid Hamzah. Bermacam-macam kebaikan dan kehebatan Haji Hamid diungkapkan. Penuh kemuliaan. Membandingkan dirinya dengan Haji Hamid, Arwah Aki berkata,

"Antara saya dengan dia tu, macam langit dengan bumi lah", katanya sayu.

Pada pandangan saya, di sebalik kata-kata merendah diri Aki itu, jelas kelihatan beliau sangat kasihkan Haji Hamid walaupun gurunya itu telah lama tiada. Tidak pernah sekali pun gurunya direndah-rendahkan walau dengan apa jua cara. Pendirian beliau tidak pernah berubah hinggalah ke akhir hayatnya.

Beberapa lama selepas Arwah Aki kembali ke rahmatullah, Cikgu Nasir menghubungi saya, mengajak saya ke rumah Cikgu Sidek.

"Ada apa nak ke sana tu Aboh?", tanya saya.
"Tak ada apa. Kita ziarah aje", jawab Cikgu Nasir ringkas.
"Intisari ziarahnya?" getus saya di dalam hati. Tapi mulut saya tidak bertanya.

Saya kuat merasa seakan ada tujuan lain di sebalik ziarah tersebut. Namun saya ikut saja apa kata Cikgu Nasir. Setibanya di rumah Cikgu Sidek, saya mendengar dengan teliti setiap patah bicara yang dituturkan oleh Cikgu Nasir dan Cikgu Sidek bagi mengetahui tujuan sebenar ziarah tersebut. Hinggalah di akhir ziarah tersebut, saya menyimpulkan bahawa ziarah hari itu memang adalah ziarah biasa sahaja.

Dalam perjalanan balik, saya berbual dengan Cikgu Nasir di dalam kereta seperti biasa. Namun dalam hati saya, masih penuh dengan pelbagai persoalan. Seakan mengetahui apa yang tersimpan dalam hati saya, Cikgu Nasir tiba-tiba berkata;

"Dulu masa Arwah Aki ada, kita ziarah Aki. Bila guru dah tak ada, kita santuni pula anak-anak dia. Ziarah bertanya khabar berita".

Hati saya bagaikan direntap ketika itu. Ya, memang begitulah caranya Cikgu Nasir selalu menziarah Arwah Aki dahulu. Pertanyaan, topik perbualan, nada bicara, tempoh masa, semuanya hampir sama. Begitu tinggi rupanya adab yang diajarkan dalam perguruan ini. Walaupun Arwah Aki telah tiada, kita masih menyantuninya dengan menziarah waris dan kaum keluarga yang masih ada. Arwah Aki dikasihi sebagaimana beliau mengasihi gurunya. Tak semena-mena saya merasa hiba.

Hubungan guru dan murid dalam perguruan ini bagaikan roda. Ia berputar tiada hentinya. Hanya kedudukan kita saja yang berubah-ubah, namun kitarannya tetap sama. Kasih guru sepanjang masa.

Buat semua guru Seni Silat Sendeng Haji Hamid, kami doakan semoga Allah merahmati kalian di dunia dan di akhirat. Semoga segala usaha kita menjadi saham akhirat yang diterima Allah S.W.T.

SELAMAT HARI GURU. Al Fatihah buat semua guru yang telah tiada. Al Fatihah.~
A.R.~

SALAM AIDLFITRI 1443H/2022

 



Seluruh warga Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid Negeri Pahang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah S.W.T menerima amalan kita semua

Monday, April 25, 2022

Majlis Berbuka Puasa Sendeng Haji Hamid Pahang.



Alhamdulillah, majlis yang diadakan pada petang tadi berjalan dengan serba sederhana tetapi sangat meriah. Antara aktiviti yang diadakan ialah membersihkan pusara Allahyarham Tuan Haji Jamaluddin (Aki Jamal) dan isteri, mengadakan bacaan tahlil ringkas, solat maghrib berjemaah, seterusnya menikmati hidangan juadah yang disediakan.

Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang terlibat samada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Terima kasih kepada ahli dan keluarga yang sudi hadir, menyumbangkan juadah berbuka, membantu menyediakan hidangan dan menguruskan persiapan tempat. Semoga Allah S.W.T memberkati perguruan kita inj dan merahmati kita semua dunia dan akhirat..~
AR~















































ADMIN
26.4.2022
1.19AM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...