HARI GURU
Perjalanan perguruan silat adalah berkisar tentang hubungan antara guru dengan murid. Dari seawal seorang pesilat menjejakkan kaki ke gelanggang, bermulalah ia mengenal erti ihsan seorang guru. Berinjak dewasa, ia berbakti pula kepada guru, demi mengharapkan keberkatan dalam segala ilmu yang telah dan sedang dituntut. Suatu hari, mungkin dia pula yang akan menyambung perjuangan guru, menyebarkan ilmu buat anak bangsa. Namun di usia apa sekalipun, nama baik seorang guru tetap dipelihara.
Saya terkenang Arwah Aki ketika di akhir-akhir hayatnya, beliau masih seperti selalu, menyebut-nyebut tentang gurunya, Haji Hamid Hamzah. Bermacam-macam kebaikan dan kehebatan Haji Hamid diungkapkan. Penuh kemuliaan. Membandingkan dirinya dengan Haji Hamid, Arwah Aki berkata,
"Antara saya dengan dia tu, macam langit dengan bumi lah", katanya sayu.
Pada pandangan saya, di sebalik kata-kata merendah diri Aki itu, jelas kelihatan beliau sangat kasihkan Haji Hamid walaupun gurunya itu telah lama tiada. Tidak pernah sekali pun gurunya direndah-rendahkan walau dengan apa jua cara. Pendirian beliau tidak pernah berubah hinggalah ke akhir hayatnya.
Beberapa lama selepas Arwah Aki kembali ke rahmatullah, Cikgu Nasir menghubungi saya, mengajak saya ke rumah Cikgu Sidek.
"Ada apa nak ke sana tu Aboh?", tanya saya.
"Tak ada apa. Kita ziarah aje", jawab Cikgu Nasir ringkas.
"Intisari ziarahnya?" getus saya di dalam hati. Tapi mulut saya tidak bertanya.
Saya kuat merasa seakan ada tujuan lain di sebalik ziarah tersebut. Namun saya ikut saja apa kata Cikgu Nasir. Setibanya di rumah Cikgu Sidek, saya mendengar dengan teliti setiap patah bicara yang dituturkan oleh Cikgu Nasir dan Cikgu Sidek bagi mengetahui tujuan sebenar ziarah tersebut. Hinggalah di akhir ziarah tersebut, saya menyimpulkan bahawa ziarah hari itu memang adalah ziarah biasa sahaja.
Dalam perjalanan balik, saya berbual dengan Cikgu Nasir di dalam kereta seperti biasa. Namun dalam hati saya, masih penuh dengan pelbagai persoalan. Seakan mengetahui apa yang tersimpan dalam hati saya, Cikgu Nasir tiba-tiba berkata;
"Dulu masa Arwah Aki ada, kita ziarah Aki. Bila guru dah tak ada, kita santuni pula anak-anak dia. Ziarah bertanya khabar berita".
Hati saya bagaikan direntap ketika itu. Ya, memang begitulah caranya Cikgu Nasir selalu menziarah Arwah Aki dahulu. Pertanyaan, topik perbualan, nada bicara, tempoh masa, semuanya hampir sama. Begitu tinggi rupanya adab yang diajarkan dalam perguruan ini. Walaupun Arwah Aki telah tiada, kita masih menyantuninya dengan menziarah waris dan kaum keluarga yang masih ada. Arwah Aki dikasihi sebagaimana beliau mengasihi gurunya. Tak semena-mena saya merasa hiba.
Hubungan guru dan murid dalam perguruan ini bagaikan roda. Ia berputar tiada hentinya. Hanya kedudukan kita saja yang berubah-ubah, namun kitarannya tetap sama. Kasih guru sepanjang masa.
Buat semua guru Seni Silat Sendeng Haji Hamid, kami doakan semoga Allah merahmati kalian di dunia dan di akhirat. Semoga segala usaha kita menjadi saham akhirat yang diterima Allah S.W.T.
SELAMAT HARI GURU. Al Fatihah buat semua guru yang telah tiada. Al Fatihah.~
A.R.~