Saturday, May 21, 2022

Sejarah Penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Tuan Haji Abdul Hamid

Sejarah Penubuhan Persatuan Seni Silat Sendeng Tuan Haji Abdul Hamid, Negeri Pahang serta Hasrat Arwah Aki dari pandangan seorang anak.

Assalamualaikum...memang sudah lama saya berniat untuk menulis sejarah persatuan ini, tetapi memandangkan kesuntukan waktu dan bebanan kerja maka saya beberapa kali telah menangguhkannya. Namun begitu suada masanya saya kira, saya perlu menulis sejarahnya secara ringkas dalam penuh kontroversi serta menyampaikan pesanan dan hasrat arwah Aki.

Sejarah Awal

Silat sendeng ini yang Arwah Aki pelajari dari Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid mula menapak di Pahang pada tahun 1969. di alamat KT 2, Ketari Bentong Pahang. Pada ketika itu Aki mengajar di SMRJK Ketari yang sekarang dikenali sebagai SMK Ketari, Kumpulan pertama yang arwah turunkan ilmu ini kepada 7 orang anggota unit gerak khas ( komando ) yang ditempatkan di Bentong, Pahang, ( yelah Bentong kan black area masa tu.) Koperal Hanim berminat untuk mempelajari sendeng setelah kalah dalam pergurauan gelanggang sebanyak 3 pusingan dengan Aki. Beliau sangat gembira dapat berkenalan dengan Aki kerana selama ini beliau sendiri tercari cari silat melayu yang boleh menandingi karate yang dipelajarinya. Didepan rumah inilah sendeng berkembang ke Raub, Lipis dan Kuantan mengikut pergerakan Aki dan anak anak muridnya. Di Kuantan misalnya bertapak ketika Aki mengajar di SMK Ayer Puteh, Manakala di Lipis mengikut Allahyarham Cikgu Rosli dan Allahyarham Wan Razak.

Di Kt 2 ketari inilah Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah telah turun sebanyak 7 kali bagi mengatamkan anak anak murid arwah Aki. Menurut Aki Arwah Uda turun bukan sekadar mengatamkan pesilat aje, tetapi beliau sendiri akan mengajar dan membetulkan gerakkan pesilat. Kadang kadang sampai 2 minggu arwah berada disini. Ramailah dapat merasa air tangan Arwah Uda pada masa ini. Antara yang masih hidup ialah cikgu Abdul Rahman bin Satam dan Pakcik Amin Bukit Piatu. Kata Aki masa Uda mengajar, dia tak berdiri ditepi tetapi akan berada dalam barisan menyorong pelebat. bila budak khatam, aku pun khatam sama ambil berkat guru katanya. Sebab itu lah Aki pantang kalau anak murid lamanya turun tapi duduk tepi buat buat senior. Kalau nak datang masa aku mengajar, masuk gelanggang dan sorong pelebat katanya. bukan tunjuk hebat. hebat engkau tu takde maknanya buat aku. katanya ketika menegur anak muridnya yang pernah mewakili Malaysia dan datang memakai track top malaysia.

Ketika menghantar Uda pulang pada kali ke 7, Aki telah menyerahkan duit belanja untuk datang pada kali seterusnya. Lalu ditolak oleh Uda semasa menaiki tangga rumah lama beliau diwaktu subuh.

'Tak payahlah Din duit duit ni, cukup dah asam garam kau ni. Boleh la kau mengajar. Tak Payah engkau panggil panggil aku lagi" begitulah lebih kurang kata Uda Hamid meninggalkan Aki dalam keadaan termangu-mangu bersendirian.

Walaupun Aki mengajar sendeng ini merata tetapi gelanggang di KT2 Ketari, tetap dibuka sehingga ditutup pada tahun 1985 dengan mengatamkan 7 orang pesilat terakhir gelanggang itu.

Pada lewat tahun 80an, kita dikejutkan dengan berita pemergian Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah.. seorang guru silat yang hebat, seorang tukang masak yang handal dan juga pernah menjadi Imam di Masjid Bukit Kangkar. Maka disinilah bermula langkah pembentukan Sendeng Malaysia.

Seni Silat Sendeng Haji Abdul Hamid

Seperti yang diketahui ramai, Sendeng Haji Abdul Hamid Negeri Pahang ditubuhkan selepas Sendeng Malaysia yang lama telah dibatalkan pendaftarannya oleh ROS Malaysia. Aki pada ketika menjadi presiden Sendeng Malaysia pada telah bertekad untuk tidak menyertai Sendeng Malaysia lagi. Biarlah sekiranya sendeng Malaysia dihidupkan kembali. orang lain selain daripada beliau yang mengapalainya. Aki banyak berkecil hati kerana berlaku banyak pertelingkahan dalam ahli ahli lama dalam masa yang sama arwah tidak tahu lansung akan perjalanan persatuan silat sendeng pada waktu tu. Beliau pada ketika itu merasakan seolah olah dipinggirkan. Justeru itu apabila Sendeng Malaysia dibubarkan telah memberi peluang kepada Arwah Aki membuka persatuan baharu khas untuk anak anak Pahang.

" Biarlah sendeng ini khas untuk anak Pahang sahaja" ujar beliau

Bagi memenuhi hasrat beliau, beliau telah berjumpa dengan anakanda kepada Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah iaitu En Ahmad Nazari bin Haji Abdul Hamid dan menyatakan hasrat beliau. Bukan mudah bagi Encik Ahmad Nazari untuk memberikan keizinan beliau apatah lagi persatuan ini ditubuhkan agak jauh dari negeri Johor serta apa bezanya dengan persatuan-persatuan silat sendeng yang lain. Akhirnya Aki menjelaskan sebab sebab tujuan penubuhan silat ini di Pahang. Maka penjelasan yang dibuat oleh Arwah Aki telah dapat memuaskan hati En. Ahmad Nazari. Setelah berbincang dengan Arwah bonda beliau serta mendapat restu maka En Ahmad Nazari bersetuju untuk turun ke Pahang bagi merasmikan penubuhan Persatuan Seni Silat Haji Abdul Hamid pada 14hb Ogos 2005 di Dewan Kris Mas, SMK Bentong. Namun begitu persatuan ini tertubuh dengan rasminya pada 6hb April 2006 apabila perlembagaannya diluluskan pada 6hb April 2006.

Apabila tubuhnya persatuan sendeng ini di Negeri Pahang, maka bermulalah episod episod yang tidak berapa sedap didengar. Yang banyak ialah berkisar tentang logo yang dipilh oleh arwah Aki. Menurut Allahyarham En Abdullah bin Talib (Abang Dolah ), mantan presiden, Sewaktu pemilihan logo logo tersebut, kebanyakan logo logo yang dihantar tidak cantik kerana menggunakan lukisan tangan dan hitam putih serta kasar kerana dilukis dalam keadaan tergesa- gesa. Haji Jamaludin kemudianya memilih logo yang dieka oleh anakandanya sendiri iaitu saudara Mohd Badlishah kerana rekaannya menggunakan komputer serta pelbagai warna dan nampak cantik. Namun begitu logo itu mendapat tentangan ramai orang dalam persatuan ini sendiri kerana berbeza jauh dari yang asal sehingga menyebabkan ia tidak dihantar ke ROS semasa awal proses penubuhan.

ADMIN
21.05.2022
4.00PM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...