Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Tuesday, October 15, 2024

SEMANGKUK MI, SELAUTAN BAHASA

SEMANGKUK MI, SELAUTAN BAHASA



Terngiang-ngiang di telinga, kata-kata Arwah Aki Jamal suatu masa dahulu,


"Terkandung di dalam disiplin Silat, unsur-unsur agama dan adat resam orang-orang Melayu sejak zaman dahulu lagi".


Saya mengakui bahawa perkataan ini benar. Berguru dengan guru-guru lama, membuka peluang untuk saya menyaksikan sendiri, banyak bukti ketinggian budi bangsa Melayu yang hampir tidak pernah saya temui di tempat lain.


Salah satunya ialah peristiwa ini, yang berlaku belasan tahun lalu.


Petang itu, telefon bimbit saya berbunyi. Nama Cikgu Nasir tertera pada skrin. Pantas saya mengangkat panggilannya.


"As'salamualaikum, sibuk ke?".


"Wa'alaikumussalam". Tak sangat. Ada apa tu Aboh?"


"Kalau tak sibuk, lepas asar kita ke Bentong. Ziarah Aki sekejap".


"Ke rumah Aki Jamal ye.. Oh boleh Aboh. Insya Allah".


Jam ketika itu menunjukkan hanya beberapa minit saja lagi menjelang masuknya waktu asar. Kesudian menemani Cikgu Nasir ke rumah Aki Jamal bererti kerja-kerja di bengkel perlu ditamatkan lebih awal. Saya segera bersiap. Tidak lama kemudian, kereta Toyota Unser milik Cikgu Nasir tiba di hadapan rumah.


"As'salamualaikum Aboh. Berdua aje ke kita?", tanya saya sambil berjabat salam.


"Berdua aje. Mudah sikit kot", jawab Cikgu Nasir ringkas.


Jawapan itu memang sudah saya jangka. Dalam beberapa ziarah sebelum ini pun,  biasanya kami akan pergi berdua saja. Namun soalan itu sengaja saya tanyakan juga, sebagai pembuka kata. Bermula dari situ, topik perbincangan akan bercambah dan bercabang-cabang. Kebiasaannya Cikgu Nasir akan mula bertanya khabar tentang sahabat-sahabat yang lain. Khabar tentang Asman, Safwan, Ikhwan, Anuar dan lain-lain.


Apabila bercerita tentang khabar kawan-kawan, maka lebih banyaklah tajuk lain akan terbuka. Tajuk -tajuk ini membuka pintu kepada persoalan-persoalan baru. Bagi saya, semua ini adalah peluang keemasan. Peluang untuk saya bertanya dan belajar lagi dari Cikgu Nasir.


Berbagai-bagai soalan saya tanyakan kepada Cikgu Nasir. Bermula dari silat, agama, bahasa, sejarah, pengalaman masa lalu, pelan selepas bersara, hinggalah ke soal tanaman, ternakan, semuanya kami perbualkan. Sebagai seorang anak muda yang dahagakan ilmu, saya rasa perbualan itu sangat berharga. Dari sudut pandang Cikgu Nasir pula, mungkin beliau merasa perbualan itu dapat menjauhkan rasa kantuk dari bersarang di mata. Dari sudut pandang lain, saya rasa beliau juga tahu, tujuan saya bertanya itu adalah untuk menggali ilmu dari dalam dadanya.


Kami berbual rancak. Sekali sekali saya selitkan juga sedikit jenaka dan gurau-gurauan. Perbualan rancak yang padat dengan pengisian itu membuatkan masa berlalu lebih pantas dari biasa. Perjalanan dari Raub ke Bentong yang mengambil masa sejam, seolah tidak terasa. Sedar-sedar saja kami telah pun tiba di simpang hadapan SMK Bentong, hanya beberapa ratus meter saja lagi sebelum tiba di rumah Aki.


"Allah, lupa nak cari buah tangan", kata Cikgu Nasir.


"Aduh..", saya menepuk dahi walaupun tidak dihinggapi apa-apa.


Rasa bersalah mula bersarang di dada. Saya lah yang terlalu rancak mengajak Cikgu Nasir berbual, sehingga beliau terlupa untuk singgah untuk membeli buah tangan.


Mujurlah rasa kesal itu tidak bertandang lama. Selang beberapa saat, kami terlihat deretan kereta di tepi jalan. Susunan kanopi merah dan biru menandakan di hadapan kami sedang diadakan pasar malam. Cikgu Nasir memberhentikan kereta dan mengajak saya ikut sama memilih sedikit juadah.


Sebungkus mi kari dan sebungkus laksa menjadi pilihan. Cukuplah dua bungkus. Satu untuk Aki, dan satu untuk Wan. Menurut perancangan kami, bolehlah ia dijadikan hidangan makan malam Aki dan isterinya hari itu.


"Kalau berziarah ni, sebaiknya cari sikit buah tangan", ujar Cikgu Nasir, seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di minda saya.


Saya cuma diam dan mengangguk-anggukkan kepala.


Ketibaan kami di rumah Aki disambut oleh seorang lelaki yang memakai baju T berkolar berwarna biru tua. Nampaknya Aki memang telah sedia menunggu. Setelah bersalam-salaman, kami dijemput masuk ke ruang tamu. Aki, saya dan Cikgu Nasir memilih untuk duduk bersila di atas lantai.


"Sihat Nasir?", tanya Aki Jamal.


Suaranya garau tetapi nadanya lembut. Bicaranya disusun tertib.


"Alhamdulillah sihat.. Cikgu sihat?", balas Cikgu Nasir dengan suara yang lebih lunak lagi.


Mereka seolah sedang berbalas-balas.


"Alhamdulillah.. Macam ni lah.. Sihat-sihat orang tua, tak ada lah sampai boleh berlari".


Gurauan Aki kami sambut dengan ketawa kecil.  Suasana ketika itu begitu tenang dan harmoni. Saya tersenyum-senyum saja memerhatikan perbualan antara dua orang guru itu. 


"Ini, untuk Cikgu", kata Cikgu Nasir sambil menghulurkan mi kari dan laksa yang dibeli tadi.


"Eh apa ni Nasir?".


"Juadah sikit untuk Cikgu".


"Yang satu lagi ni?".


"Untuk akak", jawab Cikgu Nasir sampil menunjuk ke arah Wan dengan ibu jarinya.


"Untuk engkau?", tanya Aki.


"Yang ni untuk Cikgu dengan isteri, buat makan malam".


"Eh tak boleh macam tu..".


Aki segera bangun dan menuju ke dapur. Bungkusan laksa segera diberikan kepada Wan.


Saya mendengar suara Aki meminta tiga biji mangkuk dari Wan. Saya tahu Aki akan meminta mi itu dibahagi tiga. Serba salah rasanya. Mi itu tidaklah sebanyak mana. Tentu sekali ia tidak cukup untuk kami bertiga. Saya cuba menolak, namun tidak berjaya. Aki Jamal tetap bertegas juga. Saya menoleh ke arah Cikgu Nasir, wajahnya menunjukkan isyarat serupa.


Aki menyuruh saya membahagikan mi itu kepada tiga mangkuk. Berdebar juga, takut tersalah sukatannya. Sebahagian besar saya isi untuk Aki. Bahagian yang lebih kecil untuk Cikgu Nasir, dan bahagian yang paling kecil untuk saya. Masih jelas di ingatan, mi yang ada dalam mangkuk saya hanya empat lima urat saja.


Saya makan perlahan-lahan. Setiap satu urat mi saya potong kecil-kecil. Takut cepat habis, takut nampak tak cukup, takut nampak pelahap juga.


Selepas makan, Cikgu Nasir dan Aki sambung berbual, diselang selikan dengan perkongsian ilmu-ilmu yang berguna dari Aki. Saya tumpang belajar sama. Menjelang senja, barulah kami pulang ke rumah.


Peristiwa hari itu terpahat kekal dalam ingatan saya. Saya menyaksikan pemandangan yang sudah jarang benar dapat dilihat.


Perbualan Aki Jamal dan Cikgu Nasir bagi saya sangat memukau. Bicara mereka sangat sederhana, nadanya sangat sopan, namun dalam masa yang sama sangat-sangat mesra. Semuanya jujur dan benar, bukan lakonan. Sukar untuk digambarkan, suasana itu tidak pernah dirakam sama sekali, walaupun dalam filem Melayu hitam putih zaman purbawara. Saya tidak menemui satu situasi pun yang dapat saya bandingkan dengannya.


Hari itu saya belajar, bahawa ketinggian adab bukan tentang bercakap bahasa berbunga-bunga, tetapi tentang saling menyantuni. Tahu kita siapa, bercakap dengan siapa, dan di mana tempatnya.


Dalam perjalanan saya menuntut ilmu Sendeng, terlalu banyak saya menyaksikan peristiwa begini. Seolah-olah melalui sebatang jalan yang dipenuhi dengan ribuan butir permata bertaburan. Hanya tinggal dikutip saja.


Bertahun-tahun berlalu, peristiwa ini masih segar dalam ingatan. Bertahun-tahun berlalu, semakin banyak ilmu yang dapat saya kupas darinya. Bertahun-tahun berlalu, saya masih terasa kemanisan lima urat mi dalam mangkuk saya.


Sayangnya, bertahun-tahun berlalu, adab sopan ini sudah menjadi semakin langka. Masyarakat Melayu sudah semakin melupai nilai-nilai murni nenek moyang mereka. Barangkali, suatu masa nanti, masyarakat Melayu akan terlupa terus, siapa diri mereka sebenarnya.


Arifin Raub


12.29AM

16/10/2024

admin

Wednesday, July 10, 2024

YURAN GELANGGANG

 


YURAN GELANGGANG

Yuran gelanggang menyimpulkan suatu suasana yang sulit untuk dibicarakan. Sulitnya kerana seringkali guru silat keberatan menjelaskan. Sulitnya juga, kerana seringkali murid jarang ingin cuba memahami. Mengupas sedikit tentang perihal ini, saya coretkan sebuah cerita dari kisah hidup Allahyarham Tuan Haji Jamaluddin bin Shahdan (Aki Jamal)sendiri, petikan dari sebuah artikel di page Sendeng Haji Hamid Pahang beberapa tahun lalu.

Suatu hari, Aki pergi ke rumah datuk beliau, Wak Serang. Ketika itu Aki masih kecil. Semasa memasuki kamar tidur Wak Serang, Aki terpandang satu lipatan kain tergantung elok pada salah satu tiang katil tembaga Wak Serang. Dengan penuh rasa ingin tahu, Aki pun bertanya:

"Tok, tok, ini apa ni tok?"
Wak Serang menjawab:
" Ha namanya dastar. Orang pakai bawa bersilat."
Aki mengangguk,
"Tok, silat la kat aku tok".

Lalu Wak Serang mengenakan destar tersebut di atas kepala dan terus bersilat di depan Aki. Kata Aki, masa itu gerakan Wak serang sungguh cantik. Tidak pernah Aki tengok gerakan secantik itu. Lalu Aki pun terpikat dan terus memujuk toknya untuk mengajar beliau bersilat.

" Tok, ajarlah aku silat. Ajarlah aku silat ye"
Kata Aki berulang-ulang kali memujuk sambil duduk bersila di depan Wak Serang.
" Kau nak belajar silat, bawa sepuluh sen setiap kali datang", kata Wak Serang. 
Terdiam kejap Aki, beliau menggaru kepala, sambil matanya terkebil-kebil. Fikirnya,
" Mak aku bagi belanja sekolah seposen sehari, mana nak makan rehat kalau gitu?" 
Nilai wang sepuluh sen agak besar ketika itu, jauh lebih besar dari sepuluh sen hari ini. Lalu Aki berkata pada Wak serang:
" Ala tok, dengan cucu pun nak kira"
" Eh! Sepuluh sen tu buat beli minyak tanah, bila kau datang bersilat. Takkan kau nak bersilat aku kena beli minyak tanah", jelas Wak Serang.

Kerana bersungguhnya nak bersilat, Aki simpan duit belanja sekolahnya. Bekalan dia ke sekolah ialah Teh 'O' yang dibancuh sendiri. Lepas tu dimasukkan dalam botol kaca 'gripe water'. (Orang lama mesti tau botol apa ni).

Setahun setengah Aki tidak makan di kantin sekolah semasa rehat. Ketika murid-murid lain beratur membeli makanan, Aki akan cari tempat yang sesuai dan mengeluarkan botol 'gripe water' kemudian meneguk air teh tu secara sembunyi-sembunyi.

Semuanya demi cintakan ilmu. Hasilnya, ilmu yang berkat, ilmu yang menjadi.

Kos minyak tanah dalam kisah ini, boleh kita kiaskan kepada bil elektrik, duit minyak kenderaan, sewa studio, peralatan latihan, dan lain-lain kos yang perlu dibayar. Perlu difikirkan juga, tentang keringat dan penat lelah guru, masa yang diperuntukkan, tayar kereta yang membotak, dan tidak jarang juga, guru menyediakan minuman selepas gelanggang.

Perihal yuran gelanggang tanda 'berkira', persoalan yang harus kita lontarkan kepada diri kita, adalah siapa berkira dengan siapa? Guru berkira dengan murid? Atau murid yang berkira dengan guru? Atau murid berkira dengan dirinya sendiri? Merungkai persoalan ini akan menemukan kita dengan pemahaman dari satu juzuk ilmu, adab dalam berguru.
Fikir-fikirkan..~

Arifin Raub
1/6/2024





Demonstrasi dan Gimik Perasmian






















Pesilat Cilik

 








Persembahan Silat Pengantin





















Rijang @ Batu Api


RIJANG

Ini adalah Rijang atau nama lainnya, Batu Api. Ia digelar "batu api" kerana pada zaman dahulu, ia digunakan untuk menyalakan api. Percikan api akan terbentuk apabila batu ini dilagakan dengan batu lain. Percikan itu kemudiannya digunakan untuk menyalakan api pada bahan-bahan kering.

Masa berlalu, penciptaan peralatan seperti gobek api, mancis dan terkini, 'lighter' atau pemetik api membuatkan kaedah penggunaan batu api semakin dilupakan. 

Namun batu api tidak pernah pupus. Ia masih wujud dan berada di sekeliling kita. Kenal pasti golongan ini dan berhati-hati dengan mereka. Jangan sampai kita dilaga-lagakan, mencetus api yang kian marak dan menyala.

Arifin Raub

Wednesday, May 22, 2024

Murid bak aur, guru bak tebing.




Anak murid cerminan guru.

Baik murid, baiklah guru.

Buruk murid, buruklah guru.


Rosaknya ilmu, bila guru tak berani menegur kesalahan muridnya. Bimbang murid terasa hati, merajuk dan lari. Guru lebih menjaga hati murid berbanding murid menjaga hati gurunya.


Guru yang baik, mesti berani menegur kesilapan murid. Murid yang baik, mesti sedia menerima teguran guru.


Dalam budaya Melayu, adab lebih tinggi dari ilmu. Dalam hal guru takut menegur murid, sebenarnya adab pun telah rosak dahulu sebelum ilmu. Bila ini berlaku, adab murid itu akan bertambah rosak lagi. Begitu juga dengan ilmunya.


Siapa kita? Murid atau guru? Murid bawa resmi murid, guru bawa resmi guru. Guru ada adab kepada murid. Murid ada adab kepada guru. Kedua-duanya mesti tahu.


Kredit Penulis : Saudara Arifin Raub


Update : 23/5/2024

12:50AM

admin



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...