Wednesday, July 10, 2024

YURAN GELANGGANG

 


YURAN GELANGGANG

Yuran gelanggang menyimpulkan suatu suasana yang sulit untuk dibicarakan. Sulitnya kerana seringkali guru silat keberatan menjelaskan. Sulitnya juga, kerana seringkali murid jarang ingin cuba memahami. Mengupas sedikit tentang perihal ini, saya coretkan sebuah cerita dari kisah hidup Allahyarham Tuan Haji Jamaluddin bin Shahdan (Aki Jamal)sendiri, petikan dari sebuah artikel di page Sendeng Haji Hamid Pahang beberapa tahun lalu.

Suatu hari, Aki pergi ke rumah datuk beliau, Wak Serang. Ketika itu Aki masih kecil. Semasa memasuki kamar tidur Wak Serang, Aki terpandang satu lipatan kain tergantung elok pada salah satu tiang katil tembaga Wak Serang. Dengan penuh rasa ingin tahu, Aki pun bertanya:

"Tok, tok, ini apa ni tok?"
Wak Serang menjawab:
" Ha namanya dastar. Orang pakai bawa bersilat."
Aki mengangguk,
"Tok, silat la kat aku tok".

Lalu Wak Serang mengenakan destar tersebut di atas kepala dan terus bersilat di depan Aki. Kata Aki, masa itu gerakan Wak serang sungguh cantik. Tidak pernah Aki tengok gerakan secantik itu. Lalu Aki pun terpikat dan terus memujuk toknya untuk mengajar beliau bersilat.

" Tok, ajarlah aku silat. Ajarlah aku silat ye"
Kata Aki berulang-ulang kali memujuk sambil duduk bersila di depan Wak Serang.
" Kau nak belajar silat, bawa sepuluh sen setiap kali datang", kata Wak Serang. 
Terdiam kejap Aki, beliau menggaru kepala, sambil matanya terkebil-kebil. Fikirnya,
" Mak aku bagi belanja sekolah seposen sehari, mana nak makan rehat kalau gitu?" 
Nilai wang sepuluh sen agak besar ketika itu, jauh lebih besar dari sepuluh sen hari ini. Lalu Aki berkata pada Wak serang:
" Ala tok, dengan cucu pun nak kira"
" Eh! Sepuluh sen tu buat beli minyak tanah, bila kau datang bersilat. Takkan kau nak bersilat aku kena beli minyak tanah", jelas Wak Serang.

Kerana bersungguhnya nak bersilat, Aki simpan duit belanja sekolahnya. Bekalan dia ke sekolah ialah Teh 'O' yang dibancuh sendiri. Lepas tu dimasukkan dalam botol kaca 'gripe water'. (Orang lama mesti tau botol apa ni).

Setahun setengah Aki tidak makan di kantin sekolah semasa rehat. Ketika murid-murid lain beratur membeli makanan, Aki akan cari tempat yang sesuai dan mengeluarkan botol 'gripe water' kemudian meneguk air teh tu secara sembunyi-sembunyi.

Semuanya demi cintakan ilmu. Hasilnya, ilmu yang berkat, ilmu yang menjadi.

Kos minyak tanah dalam kisah ini, boleh kita kiaskan kepada bil elektrik, duit minyak kenderaan, sewa studio, peralatan latihan, dan lain-lain kos yang perlu dibayar. Perlu difikirkan juga, tentang keringat dan penat lelah guru, masa yang diperuntukkan, tayar kereta yang membotak, dan tidak jarang juga, guru menyediakan minuman selepas gelanggang.

Perihal yuran gelanggang tanda 'berkira', persoalan yang harus kita lontarkan kepada diri kita, adalah siapa berkira dengan siapa? Guru berkira dengan murid? Atau murid yang berkira dengan guru? Atau murid berkira dengan dirinya sendiri? Merungkai persoalan ini akan menemukan kita dengan pemahaman dari satu juzuk ilmu, adab dalam berguru.
Fikir-fikirkan..~

Arifin Raub
1/6/2024





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...