Tokoh Lagenda Seni Silat Sendeng Haji Hamid

Haji Jamaludin Shahdan dan gurunya Haji Hamid Hamzah

M

M

Tuan Haji Jamaluddin Bin Shahdan

Dalam Kenangan

Kursus Pemantapan Sendeng Haji Hamid

Kursus pemantapan sendeng ini diadakan di Kuala Dong, Raub.

Tuesday, October 15, 2024

SEMANGKUK MI, SELAUTAN BAHASA

SEMANGKUK MI, SELAUTAN BAHASA



Terngiang-ngiang di telinga, kata-kata Arwah Aki Jamal suatu masa dahulu,


"Terkandung di dalam disiplin Silat, unsur-unsur agama dan adat resam orang-orang Melayu sejak zaman dahulu lagi".


Saya mengakui bahawa perkataan ini benar. Berguru dengan guru-guru lama, membuka peluang untuk saya menyaksikan sendiri, banyak bukti ketinggian budi bangsa Melayu yang hampir tidak pernah saya temui di tempat lain.


Salah satunya ialah peristiwa ini, yang berlaku belasan tahun lalu.


Petang itu, telefon bimbit saya berbunyi. Nama Cikgu Nasir tertera pada skrin. Pantas saya mengangkat panggilannya.


"As'salamualaikum, sibuk ke?".


"Wa'alaikumussalam". Tak sangat. Ada apa tu Aboh?"


"Kalau tak sibuk, lepas asar kita ke Bentong. Ziarah Aki sekejap".


"Ke rumah Aki Jamal ye.. Oh boleh Aboh. Insya Allah".


Jam ketika itu menunjukkan hanya beberapa minit saja lagi menjelang masuknya waktu asar. Kesudian menemani Cikgu Nasir ke rumah Aki Jamal bererti kerja-kerja di bengkel perlu ditamatkan lebih awal. Saya segera bersiap. Tidak lama kemudian, kereta Toyota Unser milik Cikgu Nasir tiba di hadapan rumah.


"As'salamualaikum Aboh. Berdua aje ke kita?", tanya saya sambil berjabat salam.


"Berdua aje. Mudah sikit kot", jawab Cikgu Nasir ringkas.


Jawapan itu memang sudah saya jangka. Dalam beberapa ziarah sebelum ini pun,  biasanya kami akan pergi berdua saja. Namun soalan itu sengaja saya tanyakan juga, sebagai pembuka kata. Bermula dari situ, topik perbincangan akan bercambah dan bercabang-cabang. Kebiasaannya Cikgu Nasir akan mula bertanya khabar tentang sahabat-sahabat yang lain. Khabar tentang Asman, Safwan, Ikhwan, Anuar dan lain-lain.


Apabila bercerita tentang khabar kawan-kawan, maka lebih banyaklah tajuk lain akan terbuka. Tajuk -tajuk ini membuka pintu kepada persoalan-persoalan baru. Bagi saya, semua ini adalah peluang keemasan. Peluang untuk saya bertanya dan belajar lagi dari Cikgu Nasir.


Berbagai-bagai soalan saya tanyakan kepada Cikgu Nasir. Bermula dari silat, agama, bahasa, sejarah, pengalaman masa lalu, pelan selepas bersara, hinggalah ke soal tanaman, ternakan, semuanya kami perbualkan. Sebagai seorang anak muda yang dahagakan ilmu, saya rasa perbualan itu sangat berharga. Dari sudut pandang Cikgu Nasir pula, mungkin beliau merasa perbualan itu dapat menjauhkan rasa kantuk dari bersarang di mata. Dari sudut pandang lain, saya rasa beliau juga tahu, tujuan saya bertanya itu adalah untuk menggali ilmu dari dalam dadanya.


Kami berbual rancak. Sekali sekali saya selitkan juga sedikit jenaka dan gurau-gurauan. Perbualan rancak yang padat dengan pengisian itu membuatkan masa berlalu lebih pantas dari biasa. Perjalanan dari Raub ke Bentong yang mengambil masa sejam, seolah tidak terasa. Sedar-sedar saja kami telah pun tiba di simpang hadapan SMK Bentong, hanya beberapa ratus meter saja lagi sebelum tiba di rumah Aki.


"Allah, lupa nak cari buah tangan", kata Cikgu Nasir.


"Aduh..", saya menepuk dahi walaupun tidak dihinggapi apa-apa.


Rasa bersalah mula bersarang di dada. Saya lah yang terlalu rancak mengajak Cikgu Nasir berbual, sehingga beliau terlupa untuk singgah untuk membeli buah tangan.


Mujurlah rasa kesal itu tidak bertandang lama. Selang beberapa saat, kami terlihat deretan kereta di tepi jalan. Susunan kanopi merah dan biru menandakan di hadapan kami sedang diadakan pasar malam. Cikgu Nasir memberhentikan kereta dan mengajak saya ikut sama memilih sedikit juadah.


Sebungkus mi kari dan sebungkus laksa menjadi pilihan. Cukuplah dua bungkus. Satu untuk Aki, dan satu untuk Wan. Menurut perancangan kami, bolehlah ia dijadikan hidangan makan malam Aki dan isterinya hari itu.


"Kalau berziarah ni, sebaiknya cari sikit buah tangan", ujar Cikgu Nasir, seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di minda saya.


Saya cuma diam dan mengangguk-anggukkan kepala.


Ketibaan kami di rumah Aki disambut oleh seorang lelaki yang memakai baju T berkolar berwarna biru tua. Nampaknya Aki memang telah sedia menunggu. Setelah bersalam-salaman, kami dijemput masuk ke ruang tamu. Aki, saya dan Cikgu Nasir memilih untuk duduk bersila di atas lantai.


"Sihat Nasir?", tanya Aki Jamal.


Suaranya garau tetapi nadanya lembut. Bicaranya disusun tertib.


"Alhamdulillah sihat.. Cikgu sihat?", balas Cikgu Nasir dengan suara yang lebih lunak lagi.


Mereka seolah sedang berbalas-balas.


"Alhamdulillah.. Macam ni lah.. Sihat-sihat orang tua, tak ada lah sampai boleh berlari".


Gurauan Aki kami sambut dengan ketawa kecil.  Suasana ketika itu begitu tenang dan harmoni. Saya tersenyum-senyum saja memerhatikan perbualan antara dua orang guru itu. 


"Ini, untuk Cikgu", kata Cikgu Nasir sambil menghulurkan mi kari dan laksa yang dibeli tadi.


"Eh apa ni Nasir?".


"Juadah sikit untuk Cikgu".


"Yang satu lagi ni?".


"Untuk akak", jawab Cikgu Nasir sampil menunjuk ke arah Wan dengan ibu jarinya.


"Untuk engkau?", tanya Aki.


"Yang ni untuk Cikgu dengan isteri, buat makan malam".


"Eh tak boleh macam tu..".


Aki segera bangun dan menuju ke dapur. Bungkusan laksa segera diberikan kepada Wan.


Saya mendengar suara Aki meminta tiga biji mangkuk dari Wan. Saya tahu Aki akan meminta mi itu dibahagi tiga. Serba salah rasanya. Mi itu tidaklah sebanyak mana. Tentu sekali ia tidak cukup untuk kami bertiga. Saya cuba menolak, namun tidak berjaya. Aki Jamal tetap bertegas juga. Saya menoleh ke arah Cikgu Nasir, wajahnya menunjukkan isyarat serupa.


Aki menyuruh saya membahagikan mi itu kepada tiga mangkuk. Berdebar juga, takut tersalah sukatannya. Sebahagian besar saya isi untuk Aki. Bahagian yang lebih kecil untuk Cikgu Nasir, dan bahagian yang paling kecil untuk saya. Masih jelas di ingatan, mi yang ada dalam mangkuk saya hanya empat lima urat saja.


Saya makan perlahan-lahan. Setiap satu urat mi saya potong kecil-kecil. Takut cepat habis, takut nampak tak cukup, takut nampak pelahap juga.


Selepas makan, Cikgu Nasir dan Aki sambung berbual, diselang selikan dengan perkongsian ilmu-ilmu yang berguna dari Aki. Saya tumpang belajar sama. Menjelang senja, barulah kami pulang ke rumah.


Peristiwa hari itu terpahat kekal dalam ingatan saya. Saya menyaksikan pemandangan yang sudah jarang benar dapat dilihat.


Perbualan Aki Jamal dan Cikgu Nasir bagi saya sangat memukau. Bicara mereka sangat sederhana, nadanya sangat sopan, namun dalam masa yang sama sangat-sangat mesra. Semuanya jujur dan benar, bukan lakonan. Sukar untuk digambarkan, suasana itu tidak pernah dirakam sama sekali, walaupun dalam filem Melayu hitam putih zaman purbawara. Saya tidak menemui satu situasi pun yang dapat saya bandingkan dengannya.


Hari itu saya belajar, bahawa ketinggian adab bukan tentang bercakap bahasa berbunga-bunga, tetapi tentang saling menyantuni. Tahu kita siapa, bercakap dengan siapa, dan di mana tempatnya.


Dalam perjalanan saya menuntut ilmu Sendeng, terlalu banyak saya menyaksikan peristiwa begini. Seolah-olah melalui sebatang jalan yang dipenuhi dengan ribuan butir permata bertaburan. Hanya tinggal dikutip saja.


Bertahun-tahun berlalu, peristiwa ini masih segar dalam ingatan. Bertahun-tahun berlalu, semakin banyak ilmu yang dapat saya kupas darinya. Bertahun-tahun berlalu, saya masih terasa kemanisan lima urat mi dalam mangkuk saya.


Sayangnya, bertahun-tahun berlalu, adab sopan ini sudah menjadi semakin langka. Masyarakat Melayu sudah semakin melupai nilai-nilai murni nenek moyang mereka. Barangkali, suatu masa nanti, masyarakat Melayu akan terlupa terus, siapa diri mereka sebenarnya.


Arifin Raub


12.29AM

16/10/2024

admin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...